Ahad, 24 Januari 2010

::Mari duDuk SeMeja::

Petang yang indah lagi. Suram tapi indah. Angin sepoi-sepoi bertiup sekadar mendinginkan suasana yang sudah terlalu hangat kala tengahari tadi. Beberapa kanak-kanak riuh bermain bola. Riang bergelak tawa, bergurau senda sambil dalam tak sedar sedang mencoret kisah hidup mereka sendiri. Bakal dikenang-kenang bila sudah dewasa nanti.

Sehelai daun gugur, melayang perlahan-lahan, terbang mengikut deras angin yang tak seberapa. Daun-daun pokok melambai-lambai perlahan, tapi berirama. Puing-puing kecil berpusar-pusar membawa segala yang ada di laluannya persis saudaranya sang taufan yang membedal apa sahaja yang kebetulan, tidak bernasib baik berada dalam laluannya.

Segalanya berada dalam aturan tersendiri. Pokok, daun-daun kering yang berguguran jatuh, kanak-kanak bermain bola, puing-puing angin, segalanya. Apa ada dengan semua aturan ini? Langit yang sentiasa biru ( nota : kadang-kadang jingga juga), awan yang kadang putih menggebu, kadang hitam pekat, air sungai yang mengalir tenang, bukit-bukit yang masih teguh berdiri.. apa ada dengan semua aturan ini?

“Maka nikmat Tuhan kalian yang manakah yang layak anda dustakan?”

Manusia diciptakan lemah. Tidaklah dijadikan manusia ini untuk mampu melihat Allah itu sendiri. Hatta nabi Musa sekalipun merayu, berdoa dengan bersungguh hati untuk melihat Allah, agar dirinya jadi sangat yakin, sangat tawadhuk, sangat berasakan diri sememangnya seorang hamba-Nya. Namun Dia katakan, “tidak wahai Musa..”

Tapi kerana nabi Musa sangat mahukan juga, maka diperintahkan agar dia melihat bukit yang ada berdekatan. Maka dengan kuasa Allah, yang mahu menunjukkan kekuasaan-Nya, hancurlah,mencairlah bukit itu. Subhanallah.

Maka Musa pun pengsan.

Manusia tidak dijadikan untuk mampu melihat Dia. Merayulah macam mana sekalipun. Seperti nabi Musa. Namun, oleh kerana Allah itu maha Pemurah, maha Mengasihani, maka Dia menunjukkan dirinya dalam bentuk yang paling mudah, dalam bentuk yang bertindak sebagai simbolik kepada sifat-sifat Dia. Iaitu alam ini. Ya, alam ini. Malah, termasuk dalam apa sahaja yang berlaku dalam hidup kita ini adalah sebenarnya cara Dia memperkenalkan dirinya. Allah maha Pemurah, bukan? Begitu banyak contoh yang Dia beri. Contoh mudah, alam ini. Kita belajar Biologi, tak perlulah kita berlajar secara formal barulah kita mengaku yang kita belajar biologi. Biologi itu ilmu benda hidup. Orang yang tak ambik subjek biologi, masakan patut mengaku yang mereka tidak belajar biologi? Apakah Allah tidak beri contoh yang secukupnya kepada mereka? Walhal sudah lebih dari cukup.

“Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kebesaran) Kami di segenap penjuru dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka bahawa Al-qur’an itu adalah benar. Tidak cukupkah (bagi kamu) bahwa Tuhanmu menjadi saksi atas segala sesuatu?”

Mentaliti kita sekarang sudah terpesong jauh. Jauh amat. Kita sekarang belajar, bukan? Tapi belajar kita itu untuk apa? Untuk dapat cgpa yang tinggi? Untuk dapat anugerah Dekan? Untuk dapat Anugerah Naib Canselor? Atau apa sahaja yang disebut Anugerah begitu-begini. Apa ada dengan pointer? Ya..itu bergantung kepada niat anda. Pointer itu hanyalah simbol. Satu simbol yang mewakili apa yang tersirat disebaliknya. Nah, saya beri kamu, katakan, 4flat. Ambillah. Buat apa yang kamu suka dengannya. Mahu hebohkan? Mahu beritahu teman2, ibu bapa, sekian sekian sekian.. tapi cuba kamu tukarkan balik 4flat itu kepada ilmu yang kamu dapat. Mampu kamu?

Hadirnya kita di bumi ini sebenarnya adalah untuk mengenal Dia. Saya ulang, untuk mengenal Dia, Allah. Tuhan yang satu. Tiada dua atau tiga. Pencipta kita. Begitu Pemurahnya Allah yang telah menghadirkan begitu banyak contoh untuk kita fikirkan, untuk kita hayati, untuk kita lebih mendekati Dia.

Kita manusia ini lupa daratan sebenarnya. Tahu kamu apa itu lupa daratan? Begini analoginya.

Ada sepasang suami isteri hidup berkampung di tepi pantai. Suatu hari si isteri meminta suaminya tangkapkan ikan sebarang dua di lautan untuk di masak, dibuat santapan sekeluarga. Maka pergilah si suami ke lautan, berjanji akan kembali segera membawa ikan-ikan untuk hidangan sekeluarga.
Sampai sahaja di tengah lautan, tiba-tiba lautan bergelora. Maka si suami jadi sibuk bertarung dengan ribut, hingga terlupakan si isteri yang sedang setia menunggu di daratan. Terlupa yang dia perlu kembali. Itulah yang orang Melayu dulu-dulu namakan, lupa daratan.

Nah, begitu juga dengan kita ini. Dihantarkan hidup ke dunia, sememangnya mestilah bakal kembali kepada Dia, betul? Tapi ramai, mungkin, yang sudah terkandas dengan nikmat dunia yang ada, yang sebenarnya diwujudkan sebagai satu ujian kepada kita. Belajar itu, bukanlah mengejar pointer semata-mata. Belajar itu, adalah satu cabang untuk mengenal Allah. Tidak kiralah subjek apa yang anda ambil. Niat itu, biarlah niat untuk mengenal Allah. Kerana satu sahaja tujuan kita dihantar, dipinjamkan ke dunia ini, adalah untuk mengenal Allah sebelum kita kembali kepadanya.

Akhirat itu jauh lagi, semua berasakan begitu, bukan? Tapi untuk membuatkan umat-Nya berasa dekat dengan-Nya, maka Dia hadirkan nikmat semua ini.. semuanya mestilah untuk mengingati-Nya. Dalam seringkas-ringkas contoh.


“Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya,untuk Kami menguji mereka, siapakah di antaranya yang terbaik perbuatannya.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Katakan.