Suasana petang itu nyaman. Cuaca sangat elok. Matahari tidaklah segarang seperti waktu tengah hari. Redup sahaja. Angin sepoi-sepoi bahasa bagaikan melagukan irama indah yang berbisik lembut, menusuk hati. Nyaman sahaja. Di situ, di taman itu, ramai kanak-kanak yang girang berlari ke sana ke sini. Ada juga yang teruja bermain jongkang-jongket dengan teman-teman. Gelak tawa bahagia ada dimana-mana sahaja.
Di satu sudut, Maria duduk diam memerhati gelagat alam. Hatinya yang selalu gundah bagaikan terubat apabila melihat dan mensyukuri apa yang ada di bumi Allah. Angin yang sepoi-sepoi bahasa, pokok-pokok yang menari perlahan-lahan seiring mengikut rentak sang angin, kanak-kanak yang tidak pernah henti cerianya. Langit yang masih lagi biru, rumah-rumah yang masih lagi teguh berdiri. Semuanya masih sempurna, normal.
Tapi hati Maria tidak normal. Terasa bagaikan separuh dirinya sudah hilang. Tidak kenal dirinya lagi bagaimana. Puas difikir-fikir, ke mana agaknya menghilang Maria yang dulu. Maria yang selalu sahaja bahagia, Maria yang tidak pernah peduli apa kutukan orang lain, Maria yang sentiasa motivated. Maria yang selalu ditemani teman-teman.
Semua itu dulu. Sekarang?
Nafas berat terluah.
Maria mendongak melihat langit. Ada awan putih menggebu yang bergerak perlahan-lahan. Diperhatikannya. Lama. Bagaikan asyik pula melihat betapa awan itu berkumpul dan bergerak dalam gerak yang perlahan. Dedaunan pokok pula berlaga menghasilkan bunyi-bunyian alam. Bagaikan seisi alam turut bersama-sama dengannya. Dalam hati, Maria bertasbih. ‘Ya Allah, sesungguhnya aku bersyukur..’
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Katakan.