Pernah tak terbayang yang hidup normal yang kita lalui sekarang, boleh berubah dalam sekelip mata? Well.. saya pun tak pernah. Tapi semuanya berubah kerana cinta. Ya, betul. Kerana cinta..
Selalu terbayang dalam minda, saya tak akan pernah berpeluang pun bercinta dengan lelaki kacak dalam hidup ni. Tapi dengan kehadiran Y, semua angan-angan saya jadi kenyataan. Y, seorang jejaka Cina yang sangat kacak pada mata saya. Dan juga pada mata majoriti gadis-gadis sebaya saya di sekolah. Setiap mata yang memandang Y, pasti terpaku melihat raut wajahnya yang sangat sempurna. Setiap langkahan kakinya penuh dengan gaya kelelakian. Susah untuk melihat Y senyum. Tapi saya bertuah kerana pernah mendapat peluang itu.
Pada hari yang indah itu, secara kebetulan semasa sedang beratur untuk membeli makanan, saya ternampak Y sedang ketawa dengan rakan-rakannya. Saat itu, hanya Y yang saya nampak. Keadaan sekeliling saya langsung tidak kisah. Raut wajah Y sangat ceria. Sehinggakan saya dapat merasakan aura bahagia yang Y sedang alami. Dan saat itu saya merasa sangat gembira. Senyumannya yang lebar, menampakkan susunan gigi Y yang sangat putih,bersih, dan sangat cantik tersusun. Matanya bagaikan tenggelam apabila dia ketawa. Y kelihatan sangat kacak. Dan secara tidak sengaja, ketika saya sedang asyik memandangnya, pandangan mata kami bertemu. Untuk seketika, saya sempat mengambil kesempatan itu untuk membayangkan yang Y sedang senyum kepada saya. Senyuman yang diberi hanya untuk saya. Dan saya dapat rasakan saat itu, jantung saya hilang rentak dalam berdegup. Pandangan mata Y bagaikan menghantar arus elektrik yang terus membuatkan saya terkaku. Badan serta-merta terasa hangat. Dan segalanya terasa bagaikan kaku. Hanya ada saya, dan Y.
Namun sesaat kemudian, layar lamunan bersepai tatkala Y memalingkan wajahnya dan mula berubah riak. Tiada lagi gelak tawa. Tiada lagi senyuman yang boleh mencairkan hati seribu gadis. Y kembali pada karakter biasanya dan berlalu pergi. Pandangan terakhir yang diberi kepada saya hanya bermesejkan reaksi dingin. Tapi saya, tidak kisah dan saya masih lagi di situ. Menghayati saat terindah dalam hidup yang baru saja berlalu beberapa saat lalu. Dan senyuman itu yang terus menghantui hidup saya. Setiap masa. Kerana saya tahu, hanya saya seorang, satu-satunya gadis yang dapat senyuman daripada Y, walaupun secara hakikatnya senyuman itu bukan untuk saya. Tapi tak kisahlah, kerana senyuman itu sempat singgah pada saya. Dan hanya disebabkan senyuman itu, hidup saya mula terasa berseri. Saya mula rasa bersemangat untuk datang ke sekolah. Hanya semata mahu menatap wajah sempurna Y.
Hari demi hari berlalu, rasa yang saya takrifkan sebagai cinta ini, semakin mekar dan semakin dalam. Y semakin mendapat tempat dalam hati saya. Walaupun saya sedar bahawa saya tidak akan dapat memiliki Y, malah untuk mendekatinya pun mustahil, tapi bagi saya, melihatnya ada di depan mata saya pun sudah cukup. Melihatnya dari jauh, mengikuti perkembangan dirinya, cukup buat saya rasa bahagia, rasa puas. Tanpa mahu mengharapkan apa-apa lebih daripada itu.
Bulan berganti bulan, saya bahagia dengan hidup yang saya lalui. Walaupun hanya menyintai Y dari jauh. Kerana bagi saya, cinta tidak semestinya harus memiliki. Tidak juga semestinya harus berkenal-kenalan dengannya. Biarlah terus begini. Saya tidak mahu meminta lebih-lebih. Saya hanyalah gadis biasa-biasa. Tidak setanding rasanya mahu berlawan dengan gadis-gadis sebaya saya yang jauh lebih moden dan cantik. Yang sudah semestinya lagi padan dengan Y. Siapalah saya jika mengimpikan jejaka sempurna seperti Y untuk datang mendekat dan bermesra-mesraan.
Tapi pada suatu hari, perkara yang paling tidak saya jangkakan terjadi.
Hari itu hanya hari biasa-biasa dengan permulaan hari yang biasa-biasa. Langsung tiada petanda bahawa hari itu akan jadi satu hari yang luar biasa. Tengah hari itu, saya di kelas seperti biasa. Dengan rakan-rakan sekelas yang sentiasa riuh. Semestinya lagi riuh pada tengah hari itu kerana cikgu tiada. Kelas terpaksa dibatalkan dan tengah hari itu saat paling gembira kepada semua rakan-rakan sekelas. Dan juga saya. Ketika semua oang sedang sibuk dengan hal masing-masing, yang bergosip sibuk dengan gosip, yang bergurau asyik dengan bergurau, tidak kurang juga dengan yang sedang sibuk mengumpat, tiba-tiba datang dua pengawas ke kelas kami. Keduanya adalah pengawas paling senior, dan dengan kehadiran mereka berdua, kelas serta-merta menjadi senyap.
“Selamat tengah hari, saya nak jumpa dengan M, segera.” Salah seorang daripada pengawas senior itu bersuara. Dan sejurus itu, berpuluh pasang mata menoleh ke arah saya. Terkejut juga rasanya. Tak tahu apa urusan yang saya ada dengan kedua-dua pengawas senior itu. Perlahan-lahan saya bangun dan pergi kepada kedua-dua pengawas senior itu. Sebaik sampai kepada mereka, mereka membawa saya jauh sedikit dari kelas dan setelah pasti sudah berada agak jauh dari kelas saya, salah seorang pengawas senior yang sedikit tinggi daripada saya bersuara, meminta saya ke belakang kantin sekolah kerana seseorang ingin berjumpa dengan saya.
Dan pengawas senior yang lagi seorang tersenyum simpul. Saya semakin keliru. Tapi saya turutkan juga. Dalam keberatan, saya bawa langkah kaki ke belakang kantin sekolah, sambil dalam hati cuba menduga-duga gerangan orang yang bakal saya ketemu sebentar lagi. Jarak dari kelas saya ke kantin tidaklah jauh mana. Tapi tidak tahu kenapa saat itu terasa jauh, masa terasa terlalu lambat. Lambat sungguh saya hendak sampai ke kantin.
Akhirnya sampai juga di belakang kantin. Dalam langkah perlahan saya cuba mendekat. Cuba untuk mengintai-intai gerangan orang yang mahu berjumpa dengan saya. Sejurus, saya ternampak kelibat seseorang, sedang membelakangkan saya. Demi terpandangkan saja susuk tubuh itu, saya tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk mengecam tuan empunya badan. Rasa itu hadir lagi. Kaki saya terus terpaku. Jantung berdegup dengan sangat kencang. Badan terasa sangat hangat. Dan saya langsung tidak dapat berbuat apa-apa..
Tidak pernah walaupun sekali dalam mimpi saya mahupun angan saya, saya membayangkan bahawa Y akan ada di depan mata saya dalam situasi yang mungkin wujud di alam mimpi saja. Segala yang saya lakukan selama ini demi melihat Y, walaupun dari jauh, walaupun hanya bayangnya saja, kembali terimbas di layar minda. Segala aktiviti harian Y yang saya intip, yang saya ikuti dalam senyap kembali terbayang-bayang di dalam kepala. Betulkah ini Y? Betulkah jejaka yang saya lihat di hadapan mata saya sekarang ini adalah Y?
“M..maaf menyusahkan awak datang ke sini..mesti awak tertanya-tanya..kan?” Y pantas menoleh sebaik sahaja perasan akan kehadiran saya di situ. Dia terpaku memandang saya sebentar, sebelum bibirnya menutur kata dengan nada gemersik.
Di hadapan saya adalah Y. Ya benar, mata saya tidak menipu. Y melangkah mendekati saya dengan tenang. Tangan saya digapainya, lantas dikucupnya perlahan. Segala rasa yang saya ada di dalam dada bagaikan menendang-nendang kencang, bagaikan mahu keluar, dan saya bagaikan mahu menjerit saat itu. Tingkah Y sangat mengelirukan dan aneh. Apa yang Y mahu katakan sebenarnya?
“M..Saya ajak awak jumpa adalah untuk katakan yang sebenarnya saya..”
.
.
.
Dan segala mimpi saya menjadi realiti saat itu.
Y, jejaka paling popular di sekolah, bukan hanya kerana paras rupanya, tapi juga kerana pencapaiannya dalam pelajaran dan sukan, kini menyulam bahagia dengan saya, seorang gadis yang biasa-biasa sahaja. Kerana Y katakan, dia tidak perlu gadis yang terkinja-kinja mendapatkannya, kerana dia muak melihat mereka yang tidak menjadi diri sendiri, hanya kerana mahu menunjuk-nunjuk kelebihan diri kepadanya. Seolah-olah terdesak. Tapi saya, Y telah perhatikan dengan agak lama, kerana Y katakan, ada sesuatu pada diri saya yang tiada pada gadis-gadis lain. Sesuatu yang dia tercari-cari selama ini. Y katakan, dia mengenali saya lebih daripada saya mengenali dia. Dalam diam,selama ini Y cuba selidiki peribadi saya, karakter saya, dan Y katakan, saya punyai mata yang sangat jujur. Pertama kali Y melihat saya 2 tahun lepas, ketika pesta ko-kurikulum di sekolah. Ketika itu saya sedang duduk di bersendirian di satu sudut sekolah. Sedang membaca karya seorang penulis yang diminatinya. Dan karya itu jarang - jarang , malah hampir mustahil padanya untuk seorang gadis seperti saya. Saat itu, dia tertarik untuk mengenali saya namun dia tiada keberanian untuk datang mendekat. Akhirnya, dia hanya mampu mengenali dari jauh siapa saya.
.
.
.
Oleh itu, kami berdua, selama untuk beberapa ketika, hanya mampu untuk menyintai dari jauh. Cuma sekarang, kami benar-benar dapat rasakan erti berkongsi perasaan yang sama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Katakan.