Tabiatnya satu; pantang lewat kedai buku, dia akan singgah. Pencariannya tak pernah sudah. Kali ini, dia singgah di kedai buku pekan terpencil yang dia ziarah hanya untuk suka-suka, sekadar mengisi hujung minggunya yang sepi.
Ketika dia berdiri di luar cermin toko buku itu sebentar tadi, hatinya menggigit-gigit; rawan. 11 tahun sudah, dan dia masih mengharap. Dan sekarang, setiap langkah kakinya menderap semakin perlahan, matanya mengecil meneliti satu persatu setiap tulang buku yang ada.
Tiada juga.
--
"Selamat Hari Jadi, anak ayah."
Dia rampas bungkusan hadiah dari tangan lebar bapanya. Tidak sabar untuk koyak terus demi melihat apa ada di sebalik bungkusan warna-warni gula-gula itu.
Telefon baru?
Tak.
Sebuah buku kulit keras berwarna hijau lumut menjamah matanya sebaik saja dia koyak rakus pembalut hadiah itu.
"Suka?"
Dia angguk lambat-lambat. Kenapa bukan telefon baru..
"Baca tau?" Ayah gosok kepalanya lembut sambil tersenyum penuh kasih. Dia belek-belek perlahan buku kulit keras berwarna hijau di tangannya. Di muka depan, ada nota pendek yang ayah catatkan untuknya. Dia baca separuh hati.
--
"Ye, cik. Boleh saya bantu. Cari buku apa?" Mesra kakak di toko buku itu bertanya. Dia angkat muka, senyum separuh hati. Gadis manis berambut merah ikal di hadapannya tersenyum girang mahu menbantu.
"Jane Eyre."
"Oh sekejap ye." Dan gadis manis berambut merah ikal itu berlalu pergi ke rak paling hujung.
--
"Mak, mak ada nampak tak Jane Eyre?" dia menjerit dari biliknya kepada maknya yang ada di ruang tamu. Hampa, dia menghambur keluar semua isi yang ada di dalam kotaknya. Tiada. Satu-satunya tanda ingatan yang tinggal sudah hilang entah ke mana. Dia cari sepuas hati, semua kotak-kotak yang ada dia punggah. Air matanya mengaburi mata, dia tidak peduli. Dia mesti cari buku itu.
--
"Nah, ini dia." Gadis manis berambut merah ikal menghulur Jane Eyre dengan senyuman lebar.
Dia sambut dan pandang lama buku di tangannya.
Bukan yang ini.
Dia letak kembali di rak, melangkah perlahan keluar dengan tangan tersimpan kemas dalam kot coklatnya. Tidak mengapalah, suatu hari nanti, dia akan jumpa jugak.
Hadiah terakhir yang dia dapat daripada ayahnya.
Dia berjalan meninggalkan satu lagi toko buku yang hanya menambah rekod dalam pencariannya. Angin sejuk bertiup perlahan mengiringi langkahnya. Walau indah mana pokok menari perlahan untuk menarik perhatiannya, tapi yang dia nampak hanyalah satu lagi pencarian untuk masa-masa akan datang.
--
"Untuk bidadari ayah, semoga terus membesar menjadi gadis yang jelita, supaya ayah boleh berbangga-bangga dengan dua bidadari dari syurga yang hadir dalam hidup ayah.
Sayang Elaine."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Katakan.