Memaparkan catatan dengan label pixel.. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pixel.. Papar semua catatan

Selasa, 4 Disember 2012

Sleep The Clock Around

Aku sedang duduk-duduk menghembus kepulan demi kepulan asap, sambil melihat bentuk mereka yang perlahan-lahan menghilang, meresap menjadi satu dengan udara. Di belakang hujan turun agak lebat dan aku cuba membina melodi dengan rentak titis demi titis hujan ke atas zink garaj rumah jiran ketika dia datang di sebelah, secara bahasa tubuhnya merengek minta dilayan. Ah, macam manalah aku tak sentiasa cair dengan dia ni.

Kartika. Buah hati pengarang jantung.

"Nak apa?"
"Takde apa. Kita saja nak duduk dengan awak."
"Ha, iyalah."

Aku sambung hembus kepul demi kepul asap. Sambil tengok bentuk-bentuk O perlahan-lahan hilang bentuk dan menghilang.

"Awak, tuliskan saya sajak?"

Aku menoleh ke Kartika. Sesaat dua aku tenung matanya sambil tak berhenti sedut sepam dua sebelum menghembus asapnya ke arah lain. Kartika tak pernah selesa dengan aku merokok. 

"Ada bawak kertas, pen?"

Dia pantas menghulur buku nota dengan pen yang dia sorok di belakang badan. 
Tengok tu, macam manalah aku tak terhibur. Gayanya comel-comel saja.

"Awak nak saya tuliskan pasal apa?"
"Pasal impian."

Melebar senyumannya. Dan aku cair sekali lagi. Matanya bersinar-sinar penuh kegembiraan. Aku tak pernah sangka pada awalnya, pada mula-mula perkenalan, cuma ini, dengan menulis hatta benda merapu sekalipun, akan buat dia gembira. 

"Jaga kena basah." Aku hulur buku nota kepadanya, lepas sudah siap. Ekspresi mukanya bersungguh, tekun menunggu aku ketika aku sibuk memerah idea (dan rasa) demi sajak untuk Kartika. Kartika senyum melebar sampai ke telinga, lesung pipitnya tenggelam dalam, menghias pipinya yang gebu. 

Saat itu, imej susuknya yang tersenyum gembira, dengan lesung pipitnya, berserta hujan dan melodinya, aku tangkap dan simpan dalam kotak memori. Ini antara imej-imej Kartika yang akan aku ulang tayang setiap kali, pada bila-bila masa.

"Thanks, awak" Kartika menghadap tepat ke muka aku sambil tersenyum bahagia. 

Itu kali terakhir aku melihat dia tersenyum. Itu kali terakhir aku melihat Kartika.

Selasa, 10 April 2012

Balik dari kerja, Amir buka mangga gril, bukak kasut, letak atas rak kasut, cucuk kunci ke tombol pintu, menolak pintu rumah seluas-luasnya yang boleh. Rumah bujang yang hanya dia seorang sahaja penghuninya, kosong. Yang ada hanya perabot-perabot dengan lambaian langsir sliding door-nya yang terbuka; meliuk-lentuk menyambutnya pulang ke rumah.

Home sweet home.

Amir campak gugusan kunci ke atas meja makan, letak beg laptopnya bawah meja komputer, buka stokin, lantas hempas badan ke atas sofa. 

Lega.

Untuk seketika dia meluruskan-luruskan tulang belakang, bersandar sepenuh rasa sampai tulang belakangnya terasa menyandar dari atas sampai ke pinggang. Jari-jemari kaki dimain-mainkan untuk meraikan seronoknya rasa tak berkasut, selepas seharian berkasut dengan berstokin tebal.

Amir capai remote astro, on, pilih siaran radio, lantas pilih Opus. Volume dia rendahkan sikit. Rasa selesa akhirnya, Amir letak leher atas sofa. Pejam mata.

Sedetik, dua detik, tiga detik..Amir langsung tak sedar-sedar sampailah dia terkejut dibangunkan dengan bunyi gril jiran rumah sebelah. Mamai, Amir sedar sudah senja. 

Dia toleh ke luar. Tasik yang dia boleh nampak dengan jelas dari tingkat 5 pangsapurinya dibayangi dengan jingga langit senja. Angin yang bertiup makin kuat meliuk-lentukkan lagi langsirnya dengan rentak tidak tentu, berlawan dengan angin dari kipas silingnya yang tidak seberapa. Tak payah buka kipas pun tidak apa. Bunyi kereta dengan motor yang lalu lalang di bawah tidak membawa apa-apa beza pada telinganya. Opus yang sedang senyap, juga tidak membawa makna apa-apa pada telinganya.

Dengan leher masih terletak selesa atas sofa, Amir renung lama langit senja. Sekali-sekali berganti-ganti dengan merenung refleknya pada permukaan tasik. Malam ini malam minggu. Sepanjang jalan pulang ke rumah tadi Amir mengatur-ngatur rancangan untuk mengisi malam minggunya.

Tak ada orang lain lagi, Ahmad Shabab dengan Fakhri lah jawabnya. Lepak kopitiam macam biasa, habiskan 2-3 jam komplen kerja, analisis perempuan, dengar luahan perasaan Ahmad Shabab yang masih dalam proses ubat hati lepas kena tinggal, sampailah rangka strategi ketenteraan nak takluk negara jiran, rangka strategi nak cuci kepala budak-budak muda sekarang - for  melepak sake.

Habis 2,3 jam, Amir syak dia akan pulang semula ke rumah, masih disambut dengan perasaan yang sama. Tidak berjiwa.

Rabu, 4 April 2012

Amran keluar daripada kedai buku secondhand tu sambil penuh tangan cuba masukkan buku-buku yang dah dibelinya ke dalam beg silang kulitnya - apabila dia terlanggar tidak sengaja bahu yang dirasanya seperti seorang perempuan; bahu yang tajam, bau yang lembut, dan..ya, jeritan halus yang spontan.

"Ops."

Buru-buru Amran minta maaf sambil terundur-undur suakan tangan. Kemudian dia buru-buru kutip buku-buku yang bersepah atas jalan, yang tak sempat dia masukkan ke dalam beg silangnya. Dia kalut, sama ada cuba minta maaf dengan kutip bukunya dengan tengok kereta di kiri kanannya. Dia tak dengar apa-apa lagi daripada perempuan itu.

"Tak apa."

Barulah Amran dengar. Oh, gadis. Rupanya gadis itu juga sedang kutip satu-satu apa yang Amran lihat seperti diari dengan satu naskhah novel lama, dengan buku-buku nipis yang Amran sempat lihat salah satu daripadanya adalah All The Sad Young Literary Men.

Amran perlahan-lahan tegakkan badan sambil matanya tak lari daripada gadis di hadapannya. Rambutnya yang lepas, panjang, kemeja santainya yang longgar, labuh, semua - Amran tengok satu-satu. Cuma mukanya Amran masih belum nampak dengan jelas. Dia berkira-kira untuk mendekat, mungkin, cuba tolong apa yang patut. Atau.. cuba tengok, apa yang patut.

"Awak, okey?" Amran tanya ringkas.

Gadis itu bangun, luruskan badannya sambil selit rambut lurusnya ke belakang telinga. Baru kali ni dia pandang mata ke mata dengan Amran. Sambil menyapu-nyapu sepintas lalu buku-buku yang masih tinggal debu.

"Jangan risau, saya okey." Jawab si gadis perlahan, sambil senyum manis. Sambil selit lagi juntaian halus rambut di dahinya ke belakang telinga.

Amran terkaku tak terkata apa. Lidahnya bagai melekat ke lelangit, rahangnya macam melekat, ketat. Dadanya bergendang kuat, jantungnya mengepam laju-laju. Telinga Amran berdesing, anak mata Amran membesar.

Amran tak cakap apa-apa. Matanya tak bergerak-gerak. Dia seolah nampak bidadari di hadapan mata.


Isnin, 2 April 2012

Maghrib dah datang lagi. Amira yang sedang khusyuk makan chocolate moist cake sesudu demi sesudu, terbejat seketika. Dia renung skrin komputer lama-lama. Tak kurang 8 tab yang running. 

Oh. Malam dah datang.

Amira tak boleh solat. Jadi Amira tak pergi mana-mana. Lagipun Amira dah mandi lepas balik kelas tadi. Amira diam lagi, memikir. Sudu plastik putih bekas makan chocolate moist cake masih di bibirnya. Bersih, dijilat-jilatnya tadi sampai kembali putih sudu tu, macam tak pernah di guna pun. (Sebab chocolate moist cake mahal. Rm3.50 untuk kek coklat yang cuma setinggi satu inci setengah, selebar 3 inci setengah; segi empat sama.) Amira mana kaya nak makan sedap-sedap setiap hari. Duit pinjaman pun kena jimat-jimat. Habis duit pinjaman, nak korek mana? Pasir?

Amira masih tatap skrin laptop lama-lama. 

Alt+F4.

Amira bukak browser baru. Duduk tegak beberapa saat; kemudian Amira hentak kepala ke meja kuat-kuat.

Amira pengsan.

 Dua, tiga minit lepas tu Amira bangun, dengan benjol di tengah-tengah dahi; yang lama-lama membentuk jadi mata ketiga.

Amira bukan Amira lagi. Mata Amira putih, badan Amira tegak. Jari-jemari Amira tak berhenti-henti menghentak keyboard. Pandangan Amira hanya lurus ke depan. Sambil malam beranjak ke tengah, Amira tak berhenti-henti cuba buat malicious packet.

Amira pelajar IPTA. Amira guna duit pinjaman untuk sambung belajar. Sekarang Amira tahun akhir, dan Amira sedang cuba lulus projek tahun akhirnya. Amira hafal buta-buta nota kuliah, Amira paksa diri dapat A setiap kali test. Tapi sampai sekarang Amira tak ada jiwa pun.

Nanti habis belajar, Amira nak kerja gaji tinggi-tinggi. Supaya dapat bayar balik duit pinjaman, dapat bayar cepat-cepat bagi langsai. Lepas tu Amira tak tahu nak buat apa dah.

Amira tak tahu apa yang dia belajar sebenarnya.

Sabtu, 25 Februari 2012

Aku tahu, untuk menulis dengan jujur aku belum berani.
Mungkin, seringkas-ringkas sebabnya, kerana aku sendiri belum cukup kenal diri sendiri.

Jujur. Seperti barang antik, jujur juga antik.
Bahawasanya siapa-siapa yang tampil polos,
yakni masa kini, dia diangkat.

Mata aku tak lagi menilai karisma,
tapi, jujur. Dengan rendah hati mengakui manusia biasa.
Manusia, paling biasa.
Atau manusia sempurna.

Rabu, 14 Disember 2011

Pita Rakaman.

Menyampaikan ternyata susah. Aku terlupa bila kali terakhir aku berkongsikan rasa yang sama di sini. Perasaannya sama; pengharapan, angan-angan, syahdu, indah..segalanya berputar sekitar yang sama. 

Bukan tidak pernah aku menulis, cuba merakamkan rasa yang ada. Mungkin, aku rasa, ini sudah pernah. Mungkin, aku perlu tulis sesuatu yang lain; sama mungkin, tapi berbeza kejadiannya, mungkin subjeknya, mungkin, pengalamannya.

Tiap kali petang Rabu, bila aku menapak keluar kelas, dari tingkat yang teratas, aku boleh nampak sejauh-jauhnya yang mata aku mampu pergi. Dan aku boleh nampak takrifannya indah itu, bagaimana. Bagaimana, dunia ini, disajikan indahnya untuk dihargai, untuk direnungkan.

***

Dia keluar kelas. Membawa segala apa yang ada dengan tangan yang sarat. Dua tiga langkah ke hadapan, secara nalurinya dia toleh ke kiri. Terberhenti, dia tercegat di tengah jalan. Dari sini, dari tingkat yang teratas ini, dia boleh lihat seluas-luasnya dataran bumi yang ditaburi dengan bangunan-bangunan yang melata. Di hujung sana, dia lihat matahari petang bersinar terang. Dia boleh lihat langit petang bagaimana rupanya bila diwarnai jingga matahari bercampur dengan biru langit, sambil dia tadahkan mukanya untuk dilanggar angin petang. Journey itu bermula.

Bukan tidak pernah dia terpaku di situ. Bukan tidak pernah dia terpaku di tengah-tengah lot parkir di bawah sana juga. Bukan tidak pernah dia berjalan di situ. Malah hari-hari. Masih, perasaannya sama. Jika kenangannya tidak melekat kuat kerana manusia, tidak mengapa. Rasa-rasa begini yang akan mewarnakan nostalgianya nanti. Walaupun nanti mungkin terasa kosong. Tapi dia sedar di situ juga; kekosongan ini yang dia dambakan. Ruang, untuk dia berasa hanyut dalam dunianya sebentar- jika bukan waktu tengahari, jika bukan waktu pagi.

Dia terfikir, tertanya tiba-tiba dalam kepala, sejak bila..sungguh, sejak bila sebenarnya dia mula terlalu menghargai deria yang dia ada? Sejak bila, dia lihat dunia ini seolah kanvas yang diwarnakan terlalu indah oleh tuhan? Bayangkan; tadipun dia jalan perlahan-lahan di lot parkir yang terbuka luas, berbumbungkan langit semata, sambil burung-burung pandai pula hendak berlari berkejaran, berkicau keriangan. Sejak bila?

Waktu dia termenung di atas bumbung tadipun, dia tertanya-tanya, sambil cuba beranganan; dan dia tahu siapa yang dia mahu ada bersama-sama saat itu, di situ. Dan segala rasanya yang hadir saat dia injak tangga pertama untuk turun ke tingkat paling bawah hinggalah dia pulas tombol pintu biliknya; tersimpan serta-merta dalam arkib nostalgianya. Umpama injak turun tangga itu punat mula, dan pulas tombol pintu bilik itu punat berhenti.

Dan selepas itu, dia kembali menjadi manusia. Sekurang-kurangnya atas takrifannya sendiri.

Betapa pantas masa berlalu. Dan betapa lama reviunya pabila punat main ditekan. Perasaannya seolah makan zaman-berzaman.

Ahad, 27 November 2011

"Kita mungkin berbeza kejadian, tapi sepi pertemukan kita."

"Hai awak."

Aku berjalan sendirian, gelap malam terlalu kelam.
Malam ini seolah tidak akan ada penghujung.
Waktu itu, aku cuma percaya pada keikhlasan.
Hanya keikhlasan kompas aku untuk terus berjalan.
Apa adanya beza pada kejadian,
asalkan jiwanya faham.

Sabtu, 26 November 2011

renung, jangan berkelip.
Kesudahannya, kita semua akan jadi seperti ini juga.

Ahad, 20 November 2011

Dulu saya selalu beranganan untuk ada ruang sebegini rupa.

imaginasi saya ketika kanak-kanak dahulu ketika bosan bermain patung kertas sendirian. lihat rak itu ;)

Jumaat, 18 November 2011

Bismillahirrahmanirrahim.

Setiap kali Jumaat, pagi selalu jadi yang terindah. Segalanya tenang, bermula daripada fajar hingga ke senja. Cara hati menerima segalanya dengan redha; semua rasa berlalu tenang. 

Kerana hari ini bukan yang ditakdirkan untuk kita mati.
Sekurangnya-kurang hati kita masih hidup, masih diberikan peluang untuk bernafas. 
Melihat segala sesuatu dengan penuh keterbukaan dan rela hati.

Ahad, 13 November 2011

Mana mungkin boleh aku tahan-tahan. Sedangkan lihat kau dalam gambar pun buat gendangan jantung aku kucar-kacir. Setiap kali.

Isnin, 31 Oktober 2011

Sedang aku turun tangga, angin bertiup kencang dengan matahari yang masih menyengat di atas langit sana. Panas dan mendung, juga angin;saat tu aku terpandang susuk di bangunan hadapan yang sedang duduk menelaah.

Tangan direhatkan di tulang pipi, sambil tangan kanannya berlarian atas kertas mencoretkan mungkin, solusi kepada soalan matematik. Kertas yang berselerak di atas meja terbang-terbang tiap kali angin bertiup. Tapi siku kirinya statik jadi penahan. Biar angin bertiup kencang mana, biar kertas-kertasnya terbang kencang mana, figuranya masih statik; tekun.

Berkaca mata, dengan raut wajah yang begitu, beri aku sejuta ringgit untuk aku rasa puas hati. Sebab dah lama aku tak nampak aura intelek macam begitu.


Ahad, 23 Oktober 2011

Dengar The Carpenters saat angin bertiup dan buku di tangan seolah menghadirkan diri dalam surga ciptaan sendiri.

Cantik cuaca hari ni. Kalau semalam dia mengagau mencari ketenangan dalam jiwa yang menjerit-jerit keresahan, pagi ini dia bangun macam rutinnya yang biasa, pukul5 pagi sudah pergi tandas, bersihkan diri, dan baring semula atas katil, buka buku, dan mula membaca perlahan tatkala rommatenya masih enak diulit selimut, berlayar bersama mimpi.

*

Lama benar dia tidak hadir ke sini. Taman permainannya. Saat dia melangkah masuk sebentar tadi, kurang sedozen bayang manusia yang nampak waktu-waktu begini. Dia berdiri lama, memandang barisan pokok-pokok renek berlapiskan pokok-pokok yang agak rendang; cuba mencari spot yang rasa-rasanya agak seronok untuk berbaring dan bersandar ikut suka. 

Di tangan kirinya dia genggam bakul bekal makan tengahari, di sebelah tangan kanannya dia kepit tikar mengkuang dan buku-buku yang dia belum mula baca dan sudah separuh baca. Di bahunya pula tergalas beg sandang yang berisi botol air, iPod, sapu tangan, tisu, sudu, garpu, dan payung. 

Oh, dan selendang.

Dia jumpa sudut yang agak redup, di bawah pokok yang paling rendang dia kira; kurang orang lalu lalang dan agak jauh dari orang lain. Dia bentang tikar, sandarkan beg sandangnya ke tulang pokok, letak bakul makanan di sebelah kiri, keluarkan buku-buku dari begnya dan menghenyak tubuh untuk duduk, mencari posisi selesa. Dan lekat headphone pada kepalanya, cucuk iPod, dan mula selak helaian yang terakhir dia tinggalkan.

The Carpenters membuai-buai telinganya saat kehadiran angin sepoi-sepoi bahasa terasa menyapa batang tubuhnya perlahan. Dia memang boleh tenggelam terus jika begini gayanya.

*

Di atas, awan berarak perlahan menghiasi langit biru turqoise pekat, serentak seolah matahari di putar tombolnya untuk meredupkan cahayanya. 

Maria angkat muka, merenung langit yang penuh dengan awan putih gebu, yang masih berarak perlahan, sekali-sekala mengikut rentak angin yang menyapa-nyapa mukanya saat ini. Di tangannya, dia sudah selak hampir tiga per empat buku yang cuba mengajar erti hidup, bercerita tentang pengajaran seumur hidup; dan di telinganya masih bergendang rentak perlahan dan membuai lagu-lagu kegemarannya. Tapi desir angin yang berlanggar dengan dedaunan seolah lagi memukau sukmanya. 

Buku di tangannya dia lekapkan ke dada. Kala itu dia bersandar separuh badan, dengan selendang menutupi lengannya; mencuba supaya tidak terlalu menyengat rasanya terkena cahaya matahari. Dan angin masih seperti tadi; sebab utama dia pilih untuk keluar hari ini, singgah ke taman permainannya sejak dulu, yang dia datang hanya untuk tujuan yang indah; benar-benar penting. Seolah sweet escape mungkin.

Dia renung langit lama. Seiring awan yang berarak, terlintas memoria lama; yang terlipat, terselit bersama-sama setiap pengalaman hariannya. Dia cuba, untuk memaafkan dirinya selama ini, atas segala apa yang dia telah buat. Kemaafan, bukan hak dia untuk putuskan layaknya atau tidak. Tuhan sendiri maha Pengampun, tapi telah Dia katakan yang hak kemaafan untuk orang yang teraniaya itu, hak eksklusifnya sendiri.

Dia sebenarnya masih tidak dapat memaafkan dirinya sendiri, harus bagaimana dia kuat untuk meminta kemaafan secara tulus dari temannya? Kasihnya? Pengajaran tuhan itu secara langsung. Benar, manusia sering berbuat kesilapan dan lumrah, kita belajar dari kesilapan. Tapi.. jangan minta kita belajar dari kesilapan sendiri. Jangan diulang kesilapan orang lain, jangan guna alasan untuk benar-benar merasa dan mengalami pengalaman itu sendiri.

Kerana apa yang tersurat, yang telah terjadi, bukan sesuatu yang boleh diundur. Pengalaman masa, mengalir ia seperti air, bukan boleh disedut-sedut kembali. Ia menjadi sejarah. Ia tercatat. Dan akan sentiasa diingat.

Dan itu, merenggut setiap kekuatan yang Maria ada. Dia tahu dia tidak sempurna, dia tahu dia tidak seperti orang lain, dia tahu dia sentiasa buat salah seolah ditakdirkan untuk jadi pesalah sahaja; dia tahu proses dia belajar sangat lambat, dan itu memerlukan dia keseorangan. Bilamana dia harus tenggelam dalam dunianya sendiri, memerhati orang sekeliling. Kerana dia tidak akan melibatkan siapa-siapa melainkan dirinya sendiri.

Tapi masa berjalan. Keadaan berubah. Sama macam awan putih yang berarak di atas; sentiasa bergerak, sentiasa berubah bentuk dan warna, sentiasa wujud yang baru, hapus yang lama, semuanya berjalan sekitar kehendak-Nya.

Semua fikiran-fikiran ini bebas melayang ketika Maria di sini. Buku yang sudah tiga per empat dia baca itu dia tutup sudahnya. Dia tutup mata, dan biar fikiran-fikirannya melayang bebas; kerana apa yang dia ada hanyalah dia dan monolognya.

Rabu, 19 Oktober 2011

WW #1

mahu? :)

Selasa, 18 Oktober 2011

I saw you resting there, alone. Knowing i was there, too.

Tadi hujan lebat, terlalu lebat sampaikan aku tak nampak apa pun, kecuali perasaan yang berlegar-legar segenap urat nadi, mengalir bersama darah, meresap memenuhi, merenggut hati ketika hujan makin lebat mencurah-curah membasahkan, menyuburkan segala rumput yang ada. Tak apalah, rahmat, agaknya. Tak apa. Itu, cerita lain.

Pada satu hari yang lain, aku sedang berjalan pulang ke bilik, seorang sahaja, ketika cuaca tenang tengahari itu makin mendamaikan bilamana angin tiba-tiba bertiup menghembus, menggegar dahan-dahan pokok yang berdiri di kiri kanan aku. Serentak, gemersik daun-daun yang berguguran buat aku terpaku; langkah aku matikan.

Dari jarak sepelaung, aku pandang lama daun-daun yang masih berguguran, dengan angin yang masih membuai-buai dahan-dahan pokok itu ke tepi, ke kanan, ke depan, ke merata-rata arah.

Saat itu aku nampak figura samar-samar; seorang yang aku amat kenal, melekat dalam hati selalu. Dia baring, bersandar sambil tidur; mukanya dia tutup dengan sketch book warna coklat yang aku selalu imaginasikan.

Dengan angin yang masih bermain-main, seolah sengaja mengajak perasaan aku turun naik bersama; aku tak perasan bila, bagaimana; saat aku automatik berpaling, aku perasan hati aku mula menggigit-gigit, rawan.

Dan tengahari itu aku balik, dengan bayangan perasaan yang masih menghantui tak kira bila aku melintas laluan yang sama, pada hari ini.

Turning tables.

Riuh-rendah sana-sini. Jauh di sudut hati, dia tahu dia hampir-hampir kedapatan. Penat, pening, dia sambung headphone, baring, tekan pemain muzik, tutup mata.

Sekelip mata, dia hadir di satu horizon lain.

Dia pandang kiri kanan. Di dalam keramaian, dia tenggelam. Kelihatannya tiada seorang pun yang tahu dia ada di situ; di tengah-tengah lautan manusia, dia berdiri kehilangan arah. Hanya bila semua orang tahu arah tuju masing-masing, dia,pula, terkebil-kebil mencari arah.

Dia pandang langit. Awan putih yang berkepul-kepul tidak bergerak; statik hanya di mana mereka berada. Macam dia. Masih, dia pandang langit. 

Kenapa?

Tiada jawapan. Orang ramai masih lalu-lalang di kiri kanannya. Memang tiada seorang pun yang peduli. Tiada, walaupun seorang.

Seolah masa melarikan dia, beberapa detik kemudian dia hilang, bagaikan diserap masuk ke dalam horizon yang lain pula.
Matanya terpejam rapat, tiada apa yang dia dengar melainkan bunyi-bunyian yang dia paling dambakan tika ini.

Perlahan-lahan dia buka mata, dan dia lihat lautan seluas mata memandang di hadapannya. Tiada siapa pun di situ; seolah hanya ada dia seorang. Setiap hempasan ombak bagaikan menghentam remuk hatinya. Tiada siapa-siapa,kah?

Tiada. Memang tiada.

--

Dia tutup pemain muzik, dia buka mata. Terang benderang. Cabut headphone; kembali hingar-bingar.
Tersenyum.
Masih, dia keseorangan.

Jumaat, 7 Oktober 2011

Mary.

Dia berdiri lama di atas dek itu. Yang ada di hadapannya, lautan luas terbentang sejauh mata memandang. Sebentar tadi, dia masih ada di tengah-tengah kota raya; sentiasa hilang dalam arus, tidak pasti apa sebenarnya yang sedang berlaku. Sentiasa, tidak tahu apa sebenarnya yang sedang berlaku. Sentiasa, terlupa apa tujuan begitu begini begitu begini.  

Dia hela nafas dalam. Cuba mencari rasional. Dalam tangannya, dia pegang kertas. Sebelah lagi tangannya kepit botol kaca bekas kickkapoo; Tadi dia beli, lepas tu tuang isinya ke longkang. Dalam genggaman tangan kirinya pula, ada gabus, getah, plastik, tali; lengkap.

OK.

--

Oktober 2010

Semuanya tak sama lepas kau pergi. Rasanya macam baru semalam aku ada bersama-sama dengan kau; bergelak tawa, berbual sakan. Menghabiskan masa macam dunia ini kita yang punya, seolah bumi ini kita yang putar. 

Aku masih ingat, petang itu cuaca redup. Angin bertiup sekali-sekala; daun-daun kering jatuh berguguran seiring setiap patah bicara kita bertukar hala. Dan aku waktu itu di hadapan kau - tiada apa yang aku nampak selain hanya kau sa-orang. Setiap senyum kau membuatkan aku terlupa yang aku sebenarnya bukan di syurga, setiap bicara kau aku tak dengar sangat pun sebenarnya. Tapi mendengar betapa bersemangatnya kau membayangkan segala impian kau, satu-persatu, aku tidak dapat tidak tertangkap dalam pesona kau yang mengagumkan. 

Kau kata kau gembira punya kawan seperti aku; tiada apa yang boleh gantikan aku dalam dunia ni. Em. Kau tahu, dalam hati aku kata, tiada perempuan serupa kau.

Tidak akan ada perempuan serupa kau.

Jadi semuanya berjalan normal. Kita masih gembira bersama-sama. Menghabiskan petang bersama-sama. Kadang-kadang kita singgah di court basketball; aku main, kau tinggal duduk dan ketawakan aku. Kadang-kadang kau datang, kacau aku. Ceh. Kau tak diciptakan untuk main game ni langsung. Lembik.

Dan rutin kita, duduk di taman, bersila berdua. Bersandarkan pokok 'oren' kau kata, sambil aku kononnya lukis buaian dan budak-budak, padahal aku tengah lukis kau; dan kau sedang khusyuk membelek helaian demi helaian buku klasik kau; kala itu- The Secret Garden, tentang Mary dengan sepupunya yang sakit dan taman rahsia yang hanya mereka berdua saja tahu. 

Dan kau suka membayangkan aku sebagai sepupunya yang sakit dan kau sendiri ialah Mary. Dan kau kata taman itu adalah taman rahsia kita.

Aku pandang keliling. 
..Rahsia kah?
Kau memang gadis yang pelik. Suka ikat rambut dengan reben putih, pakai blaus putih, kasut 'ballet' putih. Kadang-kadang pakai cekak putih. Bilamana gadis-gadis lain suka bermain dengan warna, bermain dengan katalog bulan-bulan; kau gembira seadanya kau.

Di sekolah, tak kira ada waktu senggang apa sekalipun, kau akan sengaja melintas depan kelas aku, senyum, dan lambai. Lepas tu senyum kegirangan dan balik semula ke kelas. 

Kau pelik, tahu?

Tapi lama-lama, aku makin sedar kau siapa sebenarnya dalam hidup aku. Bilamana kau ada di sebelah aku, aku seakan tahu apa tujuan aku hidup. Bilamana kau membayangkan masa depan kita berdua bersama, aku sudah terlalu yakin yang aku memang sentiasa akan ada dengan kau - tak, bukan aku, tapi kau- yang akan sentiasa ada untuk aku.

Kau ajar aku terlalu banyak benda. Kau bukakan jalan hidup aku; terlalu banyak. Kau definisikan segalanya yang ada dalam hidup aku. Kau bagi aku sedar terlalu banyak benda. Terlalu, banyak.

Ada masa-masanya, bila aku berjalan dengan kau, perasaan aku berbaur. Aku terasa bagaikan semua pandangan mata menghantar seribu satu rasa;
'Kau kenal perempuan ni?'
'Macam mana kau boleh kawan dengan dia ni?
'Aku cemburu dengan kau.'

Jadi, macam mana kau boleh tega tinggalkan aku..hm?
Sekarang kau sudah tidak ada, aku hanya hidup bertunjangkan percaya yang kau beri  pada aku. Sampai sekarang, aku tahu, aku boleh teruskan hidup sampai tahap mana yang aku sudah capai sekarang,
semuanya adalah kerana kau.

Aku makin hilang sekarang.
Entah kenapa, aku sudah makin jarang terasa akan 'kehadiran' kau.
Aku takut, akhirnya, kau akan pergi sepenuhnya.

Tolong jangan.

G.

--

Kertas itu digulungnya rapi dan disumbatkan ke dalam botol kickkapoo yang dikepitnya sebentar tadi. Perlahan, dia campak ke laut lepas. Bukan ada apa-apa yang diharapkannya, tiada.

Tiada apa pun.



Isnin, 19 September 2011

Definitely, Maybe.

Tabiatnya satu; pantang lewat kedai buku, dia akan singgah. Pencariannya tak pernah sudah. Kali ini, dia singgah di kedai buku pekan terpencil yang dia ziarah hanya untuk suka-suka, sekadar mengisi hujung minggunya yang sepi.

Ketika dia berdiri di luar cermin toko buku itu sebentar tadi, hatinya menggigit-gigit; rawan. 11 tahun sudah, dan dia masih mengharap. Dan sekarang, setiap langkah kakinya menderap semakin perlahan, matanya mengecil meneliti satu persatu setiap tulang buku yang ada.

Tiada juga.

--

"Selamat Hari Jadi, anak ayah." 
Dia rampas bungkusan hadiah dari tangan lebar bapanya. Tidak sabar untuk koyak terus demi melihat apa ada di sebalik bungkusan warna-warni gula-gula itu.
Telefon baru?


Tak.

Sebuah buku kulit keras berwarna hijau lumut menjamah matanya sebaik saja dia koyak rakus pembalut hadiah itu. 

"Suka?"
Dia angguk lambat-lambat. Kenapa bukan telefon baru..

"Baca tau?" Ayah gosok kepalanya lembut sambil tersenyum penuh kasih. Dia belek-belek perlahan buku kulit keras berwarna hijau di tangannya. Di muka depan, ada nota pendek yang ayah catatkan untuknya. Dia baca separuh hati.

--

"Ye, cik. Boleh saya bantu. Cari buku apa?" Mesra kakak di toko buku itu bertanya. Dia angkat muka, senyum separuh hati. Gadis manis berambut merah ikal di hadapannya tersenyum girang mahu menbantu.
"Jane Eyre."
"Oh sekejap ye." Dan gadis manis berambut merah ikal itu berlalu pergi ke rak paling hujung.

--

"Mak, mak ada nampak tak Jane Eyre?" dia menjerit dari biliknya kepada maknya yang ada di ruang tamu. Hampa, dia menghambur keluar semua isi yang ada di dalam kotaknya. Tiada. Satu-satunya tanda ingatan yang tinggal sudah hilang entah ke mana. Dia cari sepuas hati, semua kotak-kotak yang ada dia punggah. Air matanya mengaburi mata, dia tidak peduli. Dia mesti cari buku itu. 

--

"Nah, ini dia." Gadis manis berambut merah ikal menghulur Jane Eyre dengan senyuman lebar.
Dia sambut dan pandang lama buku di tangannya. 

Bukan yang ini.

Dia letak kembali di rak, melangkah perlahan keluar dengan tangan tersimpan kemas dalam kot coklatnya. Tidak mengapalah, suatu hari nanti, dia akan jumpa jugak. 
Hadiah terakhir yang dia dapat daripada ayahnya.

Dia berjalan meninggalkan satu lagi toko buku yang hanya menambah rekod dalam pencariannya. Angin sejuk bertiup perlahan mengiringi langkahnya. Walau indah mana pokok menari perlahan untuk menarik perhatiannya, tapi yang dia nampak hanyalah satu lagi pencarian untuk masa-masa akan datang.

--


"Untuk bidadari ayah, semoga terus membesar menjadi gadis yang jelita, supaya ayah boleh berbangga-bangga dengan dua bidadari dari syurga yang hadir dalam hidup ayah.
Sayang Elaine."


Isnin, 8 Ogos 2011

Dari jauh ia angkat tangan, menyapa susuk kurus yang sedang melangkah perlahan mendatanginya. Ada riak gemuruh melekat di wajahnya; wajah tua itu menyedih. Entah sudi diterima entahkan tidak. Selama ini hidupnya hanya menyusah tanpa dia benar-benar peduli. Sekarang apatah lagi; kudratnya hanya tinggal tulang kering yang bisa retak sekali hentak, rapuh sudah.

Senyuman itu tidak menutup bahasa mata yang menghantar kata-kata aku akan menjagamu, bapa. Harus bagaimana lagi. 

Dia menyedih. Air mata yang laju mengaburi mata tidak disekanya. Perlahan dia mampir, memeluk erat tubuh kurus di hadapannya. Yang terasa cuma baju tebalnya bersama sisa salji yang terbawa sekali dari negeri orang. Suaranya serak melagukan rindu dan ucap syukur. Tiada kata yang membalas, hanya suam tangan yang terasa mengusap perlahan belikatnya. 

Yang tertayang dalam kepala mereka hanyalah tahun-tahun sudah yang penuh duka.


Khamis, 23 Jun 2011

Jalan di hadapan lurus. Pokok rendang di kiri kanan beralun perlahan seolah mengalukan setiap langkah. Di hadapan, tersergam bangunan lama yang sudah di cat baru; jingga seperti langit senja begini. Tiangnya ungu, persis garis-garis tua langit di ufuk barat.

Di hadapan aku, terpampang tirai yang menghijabkan aku dan masa silam. 

"Hey. Kat situlah aku terjatuh cinta dengan xxxx dulu." Tangan mengawang-awang di udara, mengunjuk ke kantin.

"Ha, kat sinilah ada accident dulu, ingat tak?"
"Ha, kat sinilah ada budak cxxx dengan budak inxxx gaduh dulu."

"Main basketball.."
"Oh maaaan."

What a good old days. Aku dah tua rupanya.