Jumaat, 7 Oktober 2011

Mary.

Dia berdiri lama di atas dek itu. Yang ada di hadapannya, lautan luas terbentang sejauh mata memandang. Sebentar tadi, dia masih ada di tengah-tengah kota raya; sentiasa hilang dalam arus, tidak pasti apa sebenarnya yang sedang berlaku. Sentiasa, tidak tahu apa sebenarnya yang sedang berlaku. Sentiasa, terlupa apa tujuan begitu begini begitu begini.  

Dia hela nafas dalam. Cuba mencari rasional. Dalam tangannya, dia pegang kertas. Sebelah lagi tangannya kepit botol kaca bekas kickkapoo; Tadi dia beli, lepas tu tuang isinya ke longkang. Dalam genggaman tangan kirinya pula, ada gabus, getah, plastik, tali; lengkap.

OK.

--

Oktober 2010

Semuanya tak sama lepas kau pergi. Rasanya macam baru semalam aku ada bersama-sama dengan kau; bergelak tawa, berbual sakan. Menghabiskan masa macam dunia ini kita yang punya, seolah bumi ini kita yang putar. 

Aku masih ingat, petang itu cuaca redup. Angin bertiup sekali-sekala; daun-daun kering jatuh berguguran seiring setiap patah bicara kita bertukar hala. Dan aku waktu itu di hadapan kau - tiada apa yang aku nampak selain hanya kau sa-orang. Setiap senyum kau membuatkan aku terlupa yang aku sebenarnya bukan di syurga, setiap bicara kau aku tak dengar sangat pun sebenarnya. Tapi mendengar betapa bersemangatnya kau membayangkan segala impian kau, satu-persatu, aku tidak dapat tidak tertangkap dalam pesona kau yang mengagumkan. 

Kau kata kau gembira punya kawan seperti aku; tiada apa yang boleh gantikan aku dalam dunia ni. Em. Kau tahu, dalam hati aku kata, tiada perempuan serupa kau.

Tidak akan ada perempuan serupa kau.

Jadi semuanya berjalan normal. Kita masih gembira bersama-sama. Menghabiskan petang bersama-sama. Kadang-kadang kita singgah di court basketball; aku main, kau tinggal duduk dan ketawakan aku. Kadang-kadang kau datang, kacau aku. Ceh. Kau tak diciptakan untuk main game ni langsung. Lembik.

Dan rutin kita, duduk di taman, bersila berdua. Bersandarkan pokok 'oren' kau kata, sambil aku kononnya lukis buaian dan budak-budak, padahal aku tengah lukis kau; dan kau sedang khusyuk membelek helaian demi helaian buku klasik kau; kala itu- The Secret Garden, tentang Mary dengan sepupunya yang sakit dan taman rahsia yang hanya mereka berdua saja tahu. 

Dan kau suka membayangkan aku sebagai sepupunya yang sakit dan kau sendiri ialah Mary. Dan kau kata taman itu adalah taman rahsia kita.

Aku pandang keliling. 
..Rahsia kah?
Kau memang gadis yang pelik. Suka ikat rambut dengan reben putih, pakai blaus putih, kasut 'ballet' putih. Kadang-kadang pakai cekak putih. Bilamana gadis-gadis lain suka bermain dengan warna, bermain dengan katalog bulan-bulan; kau gembira seadanya kau.

Di sekolah, tak kira ada waktu senggang apa sekalipun, kau akan sengaja melintas depan kelas aku, senyum, dan lambai. Lepas tu senyum kegirangan dan balik semula ke kelas. 

Kau pelik, tahu?

Tapi lama-lama, aku makin sedar kau siapa sebenarnya dalam hidup aku. Bilamana kau ada di sebelah aku, aku seakan tahu apa tujuan aku hidup. Bilamana kau membayangkan masa depan kita berdua bersama, aku sudah terlalu yakin yang aku memang sentiasa akan ada dengan kau - tak, bukan aku, tapi kau- yang akan sentiasa ada untuk aku.

Kau ajar aku terlalu banyak benda. Kau bukakan jalan hidup aku; terlalu banyak. Kau definisikan segalanya yang ada dalam hidup aku. Kau bagi aku sedar terlalu banyak benda. Terlalu, banyak.

Ada masa-masanya, bila aku berjalan dengan kau, perasaan aku berbaur. Aku terasa bagaikan semua pandangan mata menghantar seribu satu rasa;
'Kau kenal perempuan ni?'
'Macam mana kau boleh kawan dengan dia ni?
'Aku cemburu dengan kau.'

Jadi, macam mana kau boleh tega tinggalkan aku..hm?
Sekarang kau sudah tidak ada, aku hanya hidup bertunjangkan percaya yang kau beri  pada aku. Sampai sekarang, aku tahu, aku boleh teruskan hidup sampai tahap mana yang aku sudah capai sekarang,
semuanya adalah kerana kau.

Aku makin hilang sekarang.
Entah kenapa, aku sudah makin jarang terasa akan 'kehadiran' kau.
Aku takut, akhirnya, kau akan pergi sepenuhnya.

Tolong jangan.

G.

--

Kertas itu digulungnya rapi dan disumbatkan ke dalam botol kickkapoo yang dikepitnya sebentar tadi. Perlahan, dia campak ke laut lepas. Bukan ada apa-apa yang diharapkannya, tiada.

Tiada apa pun.



1 ulasan:

Katakan.