Isnin, 4 Jun 2012

25 Minit Terlalu Lambat.

Petang sudah lewat benar. Tapi Aliya tak peduli. Dia sampai-sampai saja ke rumah sebentar tadi, dia terus rasa gelisah. Patutnya dia cakap pada Ila yang dia rasa tak puas lagi berjalan. Bahawa petang ni cuaca cantik, bahawa betapa cuaca begini buat dia rasa gembira. Tapi bila Ila dah berhentikan kereta di depan rumahnya, Aliya tiba-tiba blank, dan terus salam peluk cium Ila. Lantas turun, lambai-lambai, secara automatik.

Bila dia dah masuk ke dalam rumah baru lah dia rasa gelisah. Aliya lihat jam. Sudah pukul 6.30 petang. Dia berkira-kira. Dia mahu keluar pergi ke tasik, petang-petang yang panas, cerah macam ni tak patut dibazirkan dengan duduk diam di dalam rumah. Dia harus keluar, meraikan cuaca indah yang tuhan beri. Mana tau hatinya yang patah bisa sembuh. Keluar dengan Ila sudah, berbual panjang hal-hal manusia dan kemanusiaan; hal-hal yang suka dia bualkan dengan Ila sekian lamanya; pun sudah. Fikirnya itu sudah cukup. Tapi sekarang dia gelisah pula. Dia harus keluar.

Dia lihat lagi jam. Sudah pukul 6.35 petang. Kalau dia ambil bas, kiranya dia sampai ke tasik dalam jam 7 lebih kurang. Perkiraannya memang sentiasa tepat, sebab dia pengguna setia pengangkutan awam walaupun pengangkutan awam di Malaysia ni belum sepenuhnya boleh digantung harap. Dia sudah ambil kira bas yang mungkin sampai lambat, jalan yang sesak, bas tidak ada dan sebagainya. 

Aliya berkira-kira lagi. Dia jalan mundar-mandir di ruang tamu. Sekejap berhenti merenung jam, sekejap sambung mundar-mandir. Akhirnya Aliya pasti. Dia tukar baju, dia sendiri hairan tapi dia tau, dia mau pakai yang paling selesa saat dia duduk bersila di atas rumput sambil meladeni perasaan.

**

Aliya duduk di jeti, silangkan kedua kakinya. Pantas keluarkan sketch book-nya, keluarkan pensil, keluarkan pemadam. Ada beberapa orang pengunjung taman yang berjogging melintasi belakangnya dalam jarak yang agak dekat. Kadang-kadang Aliya terganggu. Tetapi dia harus cepat, matari akan terbenam sebentar saja lagi, jam sudah tunjuk jam 7.05 petang. Makanya dia harus cepat. Dia mesti cepat. 

Sambil lukis pulau, sambil itu kepala Aliya terbayang-bayang wajah yang amat dirinduinya. Daripada percubaan melukis langit senja dan matari yang berdiri di belakang siluet kubah Wisma Mais, jari-jemarinya cuba melukis siluet dalam kepalanya. Yang mengganggu-gugat tidur malamnya, yang menganggu-gugat ketenangan jiwanya.

Azan kedengaran. Aliya bingkas bangun, sapu-sapu belakang bajunya kemudian jalan menuju kerusi di bawah pokok yang paling dekat dengannya. Dia duduk sambil renung langit Maghrib. Dalam kelam senja, dia lihat orang-orang dari kejauhan yang turut beredar berpulangan ke rumah masing-masing. Cuma dia di situ. Cuma dia masih di situ.

20 minit yang dia dapat, 20 minit yang dia pinta dari tuhan supaya diperkenankan - dia dapat. Cumanya dia tak puas. Kerana dia pinta kepada tuhan juga, jumpakan dia dengan keajaiban. Berikan dia keajaiban. Dia mahukan keajaiban.

Dia penat melagukan jiwa rasa yang penuh berantakan. Jika dia berterusan begini, bosnya lama-lama akan pecat dia. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Katakan.