Khamis, 15 Julai 2010

sekadar imaginasi liar #1



Sepetang di kaki bukit. aku memilih untuk berada di sini. Lari dari kesibukan hiruk pikuk manusia. Lari dari keserabutan ranjau hidup. Lari dari kerenah birokrasi. Lari dari segala-galanya. Sesungguhnya, aku berharap momen ini kekal. 

Angin yang lembut menyapa kulit seakan mengulit aku, memanggil aku untuk berbaring di hamparan rumput hijau yang indah. Burung-burung yang terbang berpasang-pasangan begitu gembira bermain, berkejar-kejaran sesama mereka. Mereka menyanyi riang. Begitu indah. Pepohon rendang perlahan-lahan menari mengikut rentak angin. Gemersik bunyi-bunyian dedaunan melalaikan aku. Bagai hendak terkatup mata didodoikan alam. Betapa alam ini indah. Aku mau terus berada di sini. Biar saja semuanya, aku tidak peduli. Wahai Tuhan, izinkan aku terus berada di sini, sikit masa lagi. Jangan tarik nikmat ini dari aku, ya Tuhan. 

Alam terus menyanyi. Dan aku, semakin lena mengulit rasa dan anyaman mimpi indah. Jika ini yang aku ada, aku mau terus memilikinya. Aku mau terus mengalaminya. Aku mau terus berpeluang merasakannya. Lalang-lalang yang menari gemalai seakan mengusap lembut kepalaku, seakan mau aku terus berada di situ, tenggelam dalam mimpi, hanyut dengan rasa yang ada. Ia seolah dadah. Megkhayalkan. Masa ; seolah air yang mengalir. Tidak terperasankan. Tidak sedar, tau-tau saja langit mula berubah warna. Jingga kekuningan. Dan aku, sendiri. Di sini.

Untuk seketika, aku tercampak ke memori silam. Di hadapan aku kini, ada kau. Tersenyum, memandang aku. Matamu yang redup; menikam jauh ke dalam hati aku. Senyum di bibirmu; seakan-akan penawar bisa. Saat itu, aku berdoa, janganlah kamu pergi dari aku. Sesungguhnya jiwa aku, telah kamu curi dan bawa lari. Kamu; sang pencinta yang hadir membawa sinar dalam hidup aku. Kamu; sang pencinta yang telah hadir lama dulu dalam bayangan cuma, kini hadir secara realiti di hadapan mata. Kamulah ; mengingatkan aku pada fitrah aku untuk merasa apa itu cinta. Fitrah yang sudah lama aku terlupakan.  

Tapi kini, kau tiada. 

Wahai Tuhan, hadirkan dia kembali dalam hidup aku, ya. 

Langit makin menjingga. Angin yang sepoi-sepoi bahasa membangkitkan aku dari pembaringan, memaksa aku untuk menikmati fenomena indah  petang inisepenuhnya. Di hadapan mata, aku nampak matahari petang semakin hilang di balik gunung di sebelah sana. Dan kau seolah-olah berada di sisi, membisikkan kata indah, yang biasa kau lakukan suatu ketika dahulu, walaupun tanpa kata, tanpa suara. Dalam kesunyian hati melayan alam yang menyanyi cuba menghiburkan aku, tiba-tiba aku terdengar sayup suaramu berbisik,

“sayang..aku ada, sentiasa hadir didalam hatimu..usah kau bersedih lagi, aku akan pulang. Sikit masa saja lagi. Nantikan kepulangan aku, ya.”

Dan selepas itu angin bertiup sedikit kencang. Membawa lari salam sayangmu padaku. Lantas aku tersenyum. Jauh di sudut hatiku, aku yakin dan percaya, kau juga sedang duduk di kaki bukit seperti ini, melayan rasa dan menghayati nyanyian alam. Sentiasa yakin; bahawa kau juga turut rasa apa yang aku rasa. Ketika ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Katakan.