Khamis, 31 Mac 2011

Angin Pagi.

Saat aku bangun pagi tadi aku pantas disapu angin dinihari yang agak kencang. Beberapa minit aku pegun, merenung kosong ke luar jendela. Malam tadi aku gundah, langsung payah benar mahu lelapkan mata. Usah ditanya berapa posisi tidur yang aku terpaksa cuba, terpaksa lari sebentar dari gaya tidur yang rutin - masih resah gundah gulana. Bising benar burung pagi tadi, lagi kuat dari pagi-pagi sebelum. Seolah membising untuk membuat aku iri hati. 

Jika setia aku begini dipersoal, harus aku pandang masa silam yang kelam - aku yang bertanggungjawab atas perbuatan tangan aku sendiri. Jika kasih yang aku beri, atau mungkin zahirkan, hadirkan seolah dipandang sepi bagai angin dingin lalu di pagi hari, juga atas perbuatan tangan aku sendiri. Dan aku tidak harus berkeluh-kesah, kerana aku tau kenapa. Dan aku juga tahu kenapa aku masih mahu walau tahu, di hujung saja apa menanti. Aku..rasanya mesti hadapi ini, itu. Ini, jalannya yang aku harus lalu. Perit macam mana, aku harus..harung.

Di luar sana, dinihari tadi, terbang berkejaran merbuk pagi, bergurau senda. Sengaja mungkin, kerana tahu ada seorang aku yang melihat di antara jendela-jendela yang ada. Aku cemburu, teramat. Sedih, juga. Menahan hati tak mudah. Lagi-lagi seorang aku. 

Dahan-dahan pokok menari kencang ditolak angin. Sambil aku melihat burung-burung itu terbang bercengkerama meraikan pagi, dahan pokok yang paling dekat dengan jendela aku datang mengetuk cermin yang luas terbuka lalu berkata,


"Kuatkan hati, gadis. Kamu bisa harung."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Katakan.