Ahad, 24 April 2011

The Mask.

Sejuk menyelusup masuk ke dalam setiap liang romanya, lantas menegakkan segala bulu roma yang ada di lengannya. Laju, dia menggosok-gosok lengannya dengan harapan sejuk terusir pergi; biar sebentar cuma hangat yang dia dapat, sebentar lagi dia cuba ikhtiar sesuatu untuk menghadang dia dari kesejukan ini.

Hujan lebat di luar yang seolah-olah berkejaran untuk turun membasahi di bumi langsung tidak tunjukkan tanda mahu berhenti - apatah lagi dengan kilat yang sekali-sekala menyambar bumi disertakan dengan guruh; dia cuma mampu termenung di jendela itu dan leka menghayati tanda kebesaran Tuhan. Ketika hujan begini, waktu-waktu beginilah - yang pantas menghumban ingatannya kembali ke masa lampau, ketika dia di puncak segala-galanya; yang dia pilih untuk lepaskan dan lari ke sini - termasuk meninggalkan pria yang sanggup ada untuknya susah dan senang. Ah, dia tidak tega untuk pentingkan diri.

Matanya lari sebentar daripada merenung titik-titik hujan yang melanggar kaca jendela biliknya; di situ dia ternampak bayangnya.Dia renung jauh ke dalam anak matanya, cuba mencari makna. Tapi..tiada.

Dia sudah mati saat dia pilih untuk lari ke tanah asing ini yang penuh dengan pria kacak berambut karat dan gadis-gadis comel bermini skirt dan but paras paha. Dia sudah mati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Katakan.