Sabtu, 16 April 2011

Pagi Sabtu.

Pagi-pagi yang lazimnya sunyi di sini aku riuhkan dengan bunyi bising dari tv segala. Aku jeling jam - 7.05 pagi. Bukan aku tengok, aku pasang, sambil memegang segelas hot chocolate aku membawa langkah keluar. Melintas melepasi ayah yang sedang online, khusyuk benar berforum. Mak, pagi-pagi tadi sudah gerak pergi kerja. Bezanya mereka dua, sorang kerja shift sorang tidak. Adik aku yang tingkatan 4 sudah bersiap-siap hendak pergi cycling naik Genting Highlands. Selamba, aku bukak pintu, jalan menuju ke laman rumah. Duduk merenung matahari pagi - pagi ini suasana jingganya seolah senja. Gerimis hujan turun perlahan, hampir terasa bagaikan salji saja apabila singgah di kulit.

Bila di sini, aku menghayati pagi dengan rasa yang lain. Jika di Shah Alam aku pilih untuk hidupkan deria aku dengan duduk minum sama ada hot chocolate atau nesvita madu, sambil aku scroll ke blog-blog yang biasa aku singgah - di sini, aku duduk di halaman, menghadap ke ufuk timur, lunjurkan kaki dan menghirup perlahan hot cholocate - sambil aku perlahan-lahan kembali kepada deria aku.

Di sini, segala unggas meriuh menghidupkan pagi - menghidupkan hati yang mati. Namakan saja; pipit, merbuk,layang-layang, entah apa tah lagi burung yang ada; aku bukannya tahu kenal burung sangat - semua ada. Berbanding di Shah Alam yang aku cuma boleh dengar kicauan bising merbuk(kot) dan gagak, juga pipit dari kejauhan. Di sini, aku rasa dekat dengan alam. Semuanya berputar sekitar rasa. Heh, sedangkan kucing datang mendekat, mengadu pada aku kelaparan, mahukan sarapan pagi. Hari ini, datang satu jantan entah dari mana, sudahlah datang tak beri salam, berani-berani takut merenung kucing aku dengan pandangan berahi. Terjilat-jilat misai menelan air liur cuba menggoda si betina yang lagi pedulikan aku - bergesel-gesel bermain-main di kaki aku, terkadangnya memanjat cuba menggapai tangan aku. Ah, bajet manja la?

Bila suasana kian sepi, yang tinggal hanya aku dan kokokan ayam dan setakat 3-4 jenis kicau burung yang berbeza, dan halwa pagi tadi yang mula diganti dengan deru enjin motokar di sana sini, aku surrender. Lagipun, tiba pula masa aku selesaikan kerja-kerja dalam rumah.

Selamat pagi, dunia.

Gadis Lavender, 0744 : 160411


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Katakan.