Tadi hujan lebat, terlalu lebat sampaikan aku tak nampak apa pun, kecuali perasaan yang berlegar-legar segenap urat nadi, mengalir bersama darah, meresap memenuhi, merenggut hati ketika hujan makin lebat mencurah-curah membasahkan, menyuburkan segala rumput yang ada. Tak apalah, rahmat, agaknya. Tak apa. Itu, cerita lain.
Pada satu hari yang lain, aku sedang berjalan pulang ke bilik, seorang sahaja, ketika cuaca tenang tengahari itu makin mendamaikan bilamana angin tiba-tiba bertiup menghembus, menggegar dahan-dahan pokok yang berdiri di kiri kanan aku. Serentak, gemersik daun-daun yang berguguran buat aku terpaku; langkah aku matikan.
Dari jarak sepelaung, aku pandang lama daun-daun yang masih berguguran, dengan angin yang masih membuai-buai dahan-dahan pokok itu ke tepi, ke kanan, ke depan, ke merata-rata arah.
Saat itu aku nampak figura samar-samar; seorang yang aku amat kenal, melekat dalam hati selalu. Dia baring, bersandar sambil tidur; mukanya dia tutup dengan sketch book warna coklat yang aku selalu imaginasikan.
Dengan angin yang masih bermain-main, seolah sengaja mengajak perasaan aku turun naik bersama; aku tak perasan bila, bagaimana; saat aku automatik berpaling, aku perasan hati aku mula menggigit-gigit, rawan.
Dan tengahari itu aku balik, dengan bayangan perasaan yang masih menghantui tak kira bila aku melintas laluan yang sama, pada hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Katakan.