Menyampaikan ternyata susah. Aku terlupa bila kali terakhir aku berkongsikan rasa yang sama di sini. Perasaannya sama; pengharapan, angan-angan, syahdu, indah..segalanya berputar sekitar yang sama.
Bukan tidak pernah aku menulis, cuba merakamkan rasa yang ada. Mungkin, aku rasa, ini sudah pernah. Mungkin, aku perlu tulis sesuatu yang lain; sama mungkin, tapi berbeza kejadiannya, mungkin subjeknya, mungkin, pengalamannya.
Tiap kali petang Rabu, bila aku menapak keluar kelas, dari tingkat yang teratas, aku boleh nampak sejauh-jauhnya yang mata aku mampu pergi. Dan aku boleh nampak takrifannya indah itu, bagaimana. Bagaimana, dunia ini, disajikan indahnya untuk dihargai, untuk direnungkan.
***
Dia keluar kelas. Membawa segala apa yang ada dengan tangan yang sarat. Dua tiga langkah ke hadapan, secara nalurinya dia toleh ke kiri. Terberhenti, dia tercegat di tengah jalan. Dari sini, dari tingkat yang teratas ini, dia boleh lihat seluas-luasnya dataran bumi yang ditaburi dengan bangunan-bangunan yang melata. Di hujung sana, dia lihat matahari petang bersinar terang. Dia boleh lihat langit petang bagaimana rupanya bila diwarnai jingga matahari bercampur dengan biru langit, sambil dia tadahkan mukanya untuk dilanggar angin petang. Journey itu bermula.
Bukan tidak pernah dia terpaku di situ. Bukan tidak pernah dia terpaku di tengah-tengah lot parkir di bawah sana juga. Bukan tidak pernah dia berjalan di situ. Malah hari-hari. Masih, perasaannya sama. Jika kenangannya tidak melekat kuat kerana manusia, tidak mengapa. Rasa-rasa begini yang akan mewarnakan nostalgianya nanti. Walaupun nanti mungkin terasa kosong. Tapi dia sedar di situ juga; kekosongan ini yang dia dambakan. Ruang, untuk dia berasa hanyut dalam dunianya sebentar- jika bukan waktu tengahari, jika bukan waktu pagi.
Dia terfikir, tertanya tiba-tiba dalam kepala, sejak bila..sungguh, sejak bila sebenarnya dia mula terlalu menghargai deria yang dia ada? Sejak bila, dia lihat dunia ini seolah kanvas yang diwarnakan terlalu indah oleh tuhan? Bayangkan; tadipun dia jalan perlahan-lahan di lot parkir yang terbuka luas, berbumbungkan langit semata, sambil burung-burung pandai pula hendak berlari berkejaran, berkicau keriangan. Sejak bila?
Waktu dia termenung di atas bumbung tadipun, dia tertanya-tanya, sambil cuba beranganan; dan dia tahu siapa yang dia mahu ada bersama-sama saat itu, di situ. Dan segala rasanya yang hadir saat dia injak tangga pertama untuk turun ke tingkat paling bawah hinggalah dia pulas tombol pintu biliknya; tersimpan serta-merta dalam arkib nostalgianya. Umpama injak turun tangga itu punat mula, dan pulas tombol pintu bilik itu punat berhenti.
Dan selepas itu, dia kembali menjadi manusia. Sekurang-kurangnya atas takrifannya sendiri.
Betapa pantas masa berlalu. Dan betapa lama reviunya pabila punat main ditekan. Perasaannya seolah makan zaman-berzaman.
mengulang tanyang berputar tanpa henti.
BalasPadam