Selasa, 21 September 2010

.kasih cinta

angin sepoi-sepoi bahasa lembut saja menyapa tatkala menungnya jauh menerbangkannya entah kemana-mana. bersendirian, termenung menghayati langit tatkala senja mulai menghampiri. langit yang biru pada asalnya mula diwarnai dengan warna-warna jingga keemasan, semakin meruntun hatinya untuk terus di situ, menghayati rasa yang berputar dalam diri, menyelinap ke segenap pembuluh darah dan membawa rasa yang ada ke segenap inci tubuh. dia, bernafas dengan keyakinan yang dihadirkan oleh tuhan dalam bentuk kejadian alam. sungguh, keindahan ciptaan tuhan menjadi terapi buatnya. 

dan cinta hatinya, tidak pernah gagal dalam membuatnya bahagia. 

dalam lambat kerdipan mata, dia memerhatikan liuk-lentuk lalang yang menari-nari mengikut rentak tiupan angin. terasa hatinya terbuai sama demi terlihatkan lalang-lalang yang tingginya separas lutut itu terbuai lembut, bagaikan khayalan yang mengasyikkan. dia lantas baring. merasa lembutnya rumput-rumput yang mengalas jasad jisimnya, bagaikan comforter wangi yang memujuk-mujuk mata untuk pejam. dia, memandang lurus ke arah langit. awan putih yang bersisa bergerak perlahan ke arah timur. perlahan-lahan berubah bentuk, menjadi awan yang persis ombak di lautan. sejenak, memorinya spontan membawanya kembali ke masa lalu. 

memori ketika dia mula-mula merasakan cinta untuk cinta hatinya.

dalam sepi, angin berbahasa memahami rentak hatinya ketika ini. bagaikan terdengar-dengar bayu laut saat itu, bunyi ombak yang berdesir menghempas pantai membawa pasir-pasir bersama, dan semuanya terus sepi di telinga, yang terdengar hanyalah bunyi-bunyian ombak dari kotak memori masa lampau. dan kini, dia terasa seperi jasad jisimnya berbaring berbumbungkan bintang-bintang di langit dan beralaskan pasir pantai yang sejuk mengalasi batang tubuhnya yang penat, sudah terlalu penat..

dia kecewa dengan diri, kerana sudah terlukakan hati cinta hati, dan dia tidak mampu berbuat apa-apa untuk menyembuhkan luka cinta hatinya. setiap air mata yang tumpah kerana dia, sungguh, dia terasa bagaikan mahu menikam dadanya sendiri kerana baginya, jangan lagi cinta hatinya terluka. sungguh dia, tidak mampu lagi untuk melihat derita cinta hatinya. baginya, janganlah cinta hatinya terluka, biar dia saja terluka. jangan cinta hatinya. tapi dia..seringkali gagal. kini..cinta hatinya telah betul-betul patah hati.

kerana itu dia di sini. lari lagi. melarikan diri kerana kecewa dengan diri sendiri. teramat kecewa, terasa hilang upaya sudah. kalaulah boleh dibelah dadanya, akan dibelahnya. dan tunjuk kepada cinta hati. lihatlah, betapa dalam cinta yang ada untukmu, sayang. akan dijeritnya pada satu dunia akan cintanya. biar, biar semua tahu.

si dia di sana, sedang menjeruk rasa dan dia, di sini, sedang lari. ah, penakutnya!

hempasan angin kuat ke mukanya pantas mencelikkan matanya. tengok, angin pun tahu menyampaikan rasa. semudah itu. kelam sudah. malam sudah pun menjelma. tiada lagi burung-burung yang berterbangan pulang ke sarang, tiada lagi awan putih yang berarak perlahan-lahan, dan matahari sudahpun tenggelam di sebalik bukit nun di hujung sana. dan dia, bingkas bangkit dari pembaringan. menyapu-nyapu badan  menghilangkan debu-debu kotoran dan mengatur langkah meninggalkan puncak bukit itu. 

dan di dalam kepalanya, masih berazam mahu menggembirakan cinta hatinya. mahu mengubat luka cinta hatinya. dia masih tidak jemu mengatur rangka mahu menjadi yang lebih baik untuk cinta hatinya. ya, dia memang seorang yang pathetic.

sungguh tidak adil bagi cinta hatinya.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Katakan.