Sabtu, 25 Februari 2012

Tentang Anne Frank; The Diary of A Young Girl

Jadi, ada apa dengan buku ini? Dulu, waktu bukak semester, semester yang lepas - saya terjumpa lagi buku ni dalam rak value buy sekali bersama-sama dengan Harper Lee punya masterpiece. Tapi waktu tu terasa nak beli buku lain. Yang ini tak apa, buku ni tak akan habis stok punya.

Dan lepas tu beberapa kali lagi terjumpa buku yang sama tapi saya tak pedulikan. Macam yang saya cakap, buku ni memang akan ada di mana-mana. Tiada kerisauan. Sampailah tempoh hari, saya cuma berjalan-jalan menghibur hati, tanpa ada tujuan apa-apa. Dan ada sale. Macam yang saya cakap, buku ni mesti ada punya. Bosan asyik nampak tapi tak beli-beli, saya takut menyesal pulak. Lagipun kali ni dia tampil sekali dengan masterpiece Harper Lee. Setakat tahu bukunya tapi tak baca tak cukup, ye dak? Serupa kita excited nampak cupcake kata tu sedap macaron ni sedap tapi tak rasa pun. Sekali dah rasa, baru tahu sedap atau tak. Suka, atau biasa-biasa.

Jadi saya beli. 

Tapi yang saya minat adalah Anne Frank. Catatan dia sepanjang 1942 hingga 1944 ketika Jerman datang dan Holocaust di Holland, daripada perspektif seorang remaja zaman 1940-an, yakni silent generation yang membesar zaman great depression. Apabila Nazi hantar surat panggilan untuk deportation kepada kakaknya, Margot - masa tulah ayahnya terus bawa Anne dan mereka sekeluarga lari ke tempat persembunyian. Makanya mereka tinggal di bangunan tempat ayahnya bekerja - secara sembunyi. Ada bahagian tersembunyi di dalam bangunan tu yang orang tak tahu. Pintunya - berfungsi sebagai rak buku biasa di mata orang lain pada siang hari. Dan diari Anne ini dijumpai di loteng bangunan itu - selepas Nazi jumpa tempat persembunyian mereka dan (syukurlah) diari Anne dan surat-suratnya tidak dihapuskan.

Tulisan polos dan jujur seorang budak-budak, yang dalam tempoh dua tahun itu kita dapat lihat perkembangannya membesar sehingga menjadi wanita. Dalam ruang yang sempit lagi daif lagi terkurung, yang hanya diduduki 8 orang dalam kawasan serba-serbi tidak sempurna itu - di situ Anne membesar, menjadi matang dengan jayanya. Hanya 8 orang, mind you. Tapi pemerhatian dia, timbang tara pemikirannya, pembentukan prinsipnya - terhasil daripada circle yang hanya ada 8 orang itu. 

Sambil saya baca, saya jumpa suara kecil saya yang masih mengiyakan setiap sifat semulajadi yang ada. Seorang dewasa yang baca diari seorang kanak-kanak remaja, tak boleh tidak pasti akan jumpa dirinya sendiri dalam setiap suara Anne.

Cukup tentang perkembangan peribadinya - kerana itu yang majoriti tampil dalam tulisannya, sebab dia kurang suka bicara tentang politik - walaupun rutinnya setiap hari akan dengar perbualan orang-orang dewasa tentang politik - bila England akan akhirnya bertindak, bukan sekadar omong kosong, bila Nazi akan lingkup, bila mereka akan akhirnya dapat bebas kembali - tapi satu suaranya yang terzahir; bahawasanya anti-Semitism ini yang akan buatkan mereka terus kuat untuk bertahan. Yang gagal bertahan, itu tidak apa, kerana, mereka yang bertahan ini yang akan bangkit kemudian.

Antara bangsa Islam dan Yahudi, bangsa Islam ini terkenal dengan paparan sejarah masa silam tentang kegemilangannya, kekuasaannya - daripada Khulafa' Ar-Rasyidin, kepada kerajaan Bani Umaiyyah, Bani Abassiyah, Turki Uthmaniyyah, kepada barisan pemerintah yang membawa karakter masing-masing sampailah sekejap jatuh sekejap bangun kembali kekuasaan empayar Islam - Harun Ar-Rasyid, sultan pertama dunia - Sultan Mahmud, Masud, Alp Arslan dengan setiausaha agungnya Nizam Al-Mulk sampailah Salah al-Din Yusuf Ibn Ayub yakni Saladin yang ambil kembali hampir kesemua yang ada dalam pegangan the Crusaders, tanpa pertumpahan darah - manakala sepanjang huru-hara dunia Islam yang pemerintahnya asyik nak bertanding pegangan agama siapa yang lagi kuat yang lagi betul - which sebijik situasi pemerintah Islam kita yang sekarang ni - bangsa Yahudi tertindas, tidak bertempat, berlindung di sana-sini.

Apa bangsa Islam ini terlalu selesa? Sampaikan bangsa yang tertindas itu, makin bangkit dan sudah maju - kerana susah payah perit duka yang mereka lalui. Sedangkan kita bangsa Islam mungkin sudah redha dengan dunia kerana tahu hujung perjalanan kita apa - bagaimana pengakhirannya hayat bumi, bagaimana kejatuhan bangsa Yahudi (dan agama lain), bagaimana akan datang penyelamat dan sebagainya - ini apa?

Kenapa diari Anne ini jadi fenomena dunia? Sebab tinggalnya sebagai peringatan kepada bangsa yang tertindas dahulu. Dan sebagai pembakar semangat kepada mereka.

Kita? Apa yang kita ada? Atau yang kita, kejar? Apa, fenomena kita? 

Nyatanya, senang disogok kerana terus terima. Fenomena kita jadi, stereotaip. Prinsip dan pendapat itu lain cerita, kepercayaan kita berteraskan asas yang sama - tapi sesetengahnya lari menjadi terlalu..jumud. 

Bangsa yang berfikir, bangsa yang terselamat.

1 ulasan:

Katakan.