Memaparkan catatan dengan label eskep.. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label eskep.. Papar semua catatan

Khamis, 6 Disember 2012

Tiris

Matahari makin jauh merendah di ufuk barat, sementara langit bangga dengan senjanya, bermain-main dengan warna-warna jingga dan ungu buat persembahan manusia-manusia yang lembut jiwanya. Dan Dian, seorang gadis yang tinggal di satu kabin terbiar di ceruk pinggir kota sedang sibuk dengan gulungan benang dan jarum-jarumnya yang datang dengan pelbagai saiz. Usai dia puas bermain rasa di hadapan matahari senja, berangan dan memikir segala tahi yang dilemparkan kepadanya hari itu, dia kembali mengurung diri di dalam kabin kecintaannya. Dari jauh dia dapat mendengar nyanyian dari kota yang tiada berjiwa. Pedulikan semua itu. Hari ini sama lagi rutinnya. Dia sedang pilih warna apa untuk dijahitkan hatinya kali ini. Juga saiz jarum apa yang difikirkannya sesuai kali ini. 

Dia kira warna hitam mungkin sesuai hari ini. Dipadankan dengan jarum yang paling halus. Kerana dia takut hatinya bengkak dek bekas-bekas jahitan yang lama yang kebanyakannya dari berlapis-lapis benang yang dijahitnya menggunakan jarum besar-besar. Kerana waktu itu Dian cuba, kelam-kabut jahitkan hatinya yang luka takut orang perasan. Dan juga dia tidak punya masa untuk merawat hatinya.

Hari ini tidak apa, hari ini Dian punya banyak masa untuk jahitkan hatinya dengan hati-hati, rapat-rapat. Agar tidak nampak parutnya nanti.

Isnin, 3 Disember 2012

Night After Night

Setia berjalan di lorong antara dua bangunan yang sudah lama ditinggalkan. Dalam hujan yang lebat turun membasahi bumi, langkahnya perlahan, setiap tapak diseret dengan daya yang hampir sifar. Bukan dia sendiri di situ, tikus-tikus yang besarnya setanding kucing berusia 6 bulan melintas bersimpang siur di hadapan dan di belakangnya. Tapi Setia tidak peduli. Tiada apa yang Setia pedulikan lagi. Untuk melangkah dan berjalan pun sudah dikiranya satu keajaiban. Dengan setiap langkahnya ke hadapan, dia memaki dirinya. Dia mahu mati, dia mahu rebah tersungkur ke tanah hilang segala daya. Biar dia ada alasan untuk tidak bangun dan terus melangkah. Tapi hujan lebat ini juga seolah-olah menganjing. 

Setia teruskan berjalan, walau untuk apa dia melangkah pun dia tidak tahu. Dia tidak nampak apa yang ada di hadapan, dia tak peduli apa yang tertinggal di belakang. Yang dia tahu dia mahu berjalan, mahu lari dari daerah hujan ini. Mahu lari dari kesialan ini. Tapi tujuannya dia tidak pasti. Langit berdentum. Beberapa saat sebelum, dari belakang, seekor anjing berjalan tunduk di sebelah sambil curi-curi menjeling terjelir lidah kepadanya; untuk beberapa saat Setia rasa keintiman di situ. Kini mereka berjalan seiring. Sama rentak, sama langkah. Pandangan mereka keduanya tidaklah lari dari satu sama lain. Seolah-olah kebisuan itu menyatukan jiwa yang satu haram apa pun tidak sama. 

Di tengah-tengah kota ini, di tengah-tengah pekat malam, Setia putus asa terhadap hidup. Sehinggalah anjing ini datang, membawakan rasa yang dia, mereka, berada dalam kesialan yang sama. Dan dalam kesialan itu dia rasa mahu berteman.

Khamis, 29 November 2012

Kosong I

Alkisah pada suatu masa tamadun manusia sudah semakin pupus kemanusiaannya. Segala rumah-rumah yang pernah wujud sekitar zaman manusia yang teruja kahwin pada tarikh 11.11.11, 12.12.12, 20.11.2012, kini makin teruk berlumut tidak terjaga setelah semuanya kecundang menjadi zombi - hampir 24 jam masa yang ada di habiskan mengejar uang dan keseronokan semata-mata. 

Di suatu tempat di pinggir bandar, yang terselit antara ceruk-ceruk bangunan berlumut hijau yang penuh dengan contengan-contengan seni anak jalanan yang terbiar bergelandangan cuba mencari diri sendiri, juga di lorong-lorong sempit lagi sesak dengan dealer-dealer dan mak-mak ayam yang riuh menjual dan nyaring bertempik sesama mereka - sedang langit di atas gelap dan pekat, kelihatannya zaman ini cahaya matahari tidak pernah sampai lagi ke bumi, yang ada hanya kepekatan malam semata-mata. Dan segala makhluk manusia kelihatannya tidak pernah kisah dengan keadaan itu - asalkan tengkolok mereka diisi, terbakar dengan segala macam makanan-makanan yang sudah tidak kisah dibismillahkan atau tidak, sedang air-air mereka yang sudah berapa macam pemprosesan tidak langsung membantu menyihatkan hati-hati mereka. Di sebalik semua ini, kiranya tertinggal jua zuriat manusia yang kelihatannya lebih hampir kepada tafsiran seorang manusia itu. Mereka hidup di tiang-tiang elektrik yang masih kukuh berdiri, yang sama seperti mereka, golongan-golongan yang masih terselamat di tengah-tengah kehancuran bangsa manusia. Tiang-tiang elektrik itu adalah tinggalan zaman dahulu, ketika bangsa manusia masih gigih mencari  kepandaian dalam pengetahuan asas dan masih gigih mencari sumber untuk disalurkan, atas niat berkongsi dan membekalkan.

Makanya hiduplah ada dua insan manusia ini di satu tiang elektrik yang masih berdiri walaupun kelihatannya sudah senget sedikit. Satunya budak laki-laki dan satunya anak gadis yang hadir ke hulu ke hilir bersama seekor burung pipit yang sudah rosak paruhnya. Adanya budak laki-laki itu tiada kerja lain hanya merenung ke langit saja kerjanya, sambil bertinggung di atas wayar yang tiada sudah arus elektrik melaluinya. Dan anak gadis tadi pula tiada pula kerjanya selain tunduk ke tanah mencarikan makanan untuk pipit yang sudah rosak paruhnya itu. Siang malam yang sudah tidak terduga siang dan malamnya bila, si pipit yang rosak paruhnya rajin menyanyi-nyanyi memanggil budak laki-laki di atas tiang sana cuba menyuruhnya turun barang sehari dua untuk berkenal-kenalan dengan tuannya si anak gadis, sambil di fikirannya untuk mengembangkan zuriat manusia yang terakhir ini supaya beranak-pinak lagi. Akan tetapi walaupun menyanyilah ia siang dan malam yang tiada bezanya itu, tiada juga hasilnya daripada budak laki-laki itu. 

Pada suatu hari ketika anak gadis itu seperti biasa tertunduk-tunduk mencarikan makanan untuk si pipit yang rosak paruhnya itu, si pipit yang masih menyanyi-nyanyi memanggil akan budak laki-laki itu pitam ditimpa ketul-ketul batu hujan yang turunnya sudah seperti hujan yang biasa-biasa. Setelah beberapa ketika ia langsung tidak sedar dunia, si pipit bangun berpinar-pinar matanya sambil cuba mencari-cari si anak gadis yang sudah tidak pernah langsung melangut ke langit walaupun barang sesaat dua, sibuk saja mencarikannya makanan. Terkejutlah si pipit apabila melihatkan si anak gadis yang sudah tiba-tiba berada di atas tiang, melangut merenung ke langit sambil bertinggung di atas wayar manakala si budak laki-laki lagi sibuk tertunduk-tunduk mengutip sisa-sisa pepejal apa saja yang kiranya boleh dimakan oleh si pipit yang rosak paruhnya. 

Si pipit tergeleng-geleng kesal memikirkan cara lain pula untuk membuatkan si anak gadis turun ke bawah barang sehari dua untuk berkenal-kenalan dengan si budak laki-laki demi mengembangkan zuriat manusia yang terakhir ini agar bertambahlah beranak-pinaknya. 

Sabtu, 25 Februari 2012

Tentang Anne Frank; The Diary of A Young Girl

Jadi, ada apa dengan buku ini? Dulu, waktu bukak semester, semester yang lepas - saya terjumpa lagi buku ni dalam rak value buy sekali bersama-sama dengan Harper Lee punya masterpiece. Tapi waktu tu terasa nak beli buku lain. Yang ini tak apa, buku ni tak akan habis stok punya.

Dan lepas tu beberapa kali lagi terjumpa buku yang sama tapi saya tak pedulikan. Macam yang saya cakap, buku ni memang akan ada di mana-mana. Tiada kerisauan. Sampailah tempoh hari, saya cuma berjalan-jalan menghibur hati, tanpa ada tujuan apa-apa. Dan ada sale. Macam yang saya cakap, buku ni mesti ada punya. Bosan asyik nampak tapi tak beli-beli, saya takut menyesal pulak. Lagipun kali ni dia tampil sekali dengan masterpiece Harper Lee. Setakat tahu bukunya tapi tak baca tak cukup, ye dak? Serupa kita excited nampak cupcake kata tu sedap macaron ni sedap tapi tak rasa pun. Sekali dah rasa, baru tahu sedap atau tak. Suka, atau biasa-biasa.

Jadi saya beli. 

Tapi yang saya minat adalah Anne Frank. Catatan dia sepanjang 1942 hingga 1944 ketika Jerman datang dan Holocaust di Holland, daripada perspektif seorang remaja zaman 1940-an, yakni silent generation yang membesar zaman great depression. Apabila Nazi hantar surat panggilan untuk deportation kepada kakaknya, Margot - masa tulah ayahnya terus bawa Anne dan mereka sekeluarga lari ke tempat persembunyian. Makanya mereka tinggal di bangunan tempat ayahnya bekerja - secara sembunyi. Ada bahagian tersembunyi di dalam bangunan tu yang orang tak tahu. Pintunya - berfungsi sebagai rak buku biasa di mata orang lain pada siang hari. Dan diari Anne ini dijumpai di loteng bangunan itu - selepas Nazi jumpa tempat persembunyian mereka dan (syukurlah) diari Anne dan surat-suratnya tidak dihapuskan.

Tulisan polos dan jujur seorang budak-budak, yang dalam tempoh dua tahun itu kita dapat lihat perkembangannya membesar sehingga menjadi wanita. Dalam ruang yang sempit lagi daif lagi terkurung, yang hanya diduduki 8 orang dalam kawasan serba-serbi tidak sempurna itu - di situ Anne membesar, menjadi matang dengan jayanya. Hanya 8 orang, mind you. Tapi pemerhatian dia, timbang tara pemikirannya, pembentukan prinsipnya - terhasil daripada circle yang hanya ada 8 orang itu. 

Sambil saya baca, saya jumpa suara kecil saya yang masih mengiyakan setiap sifat semulajadi yang ada. Seorang dewasa yang baca diari seorang kanak-kanak remaja, tak boleh tidak pasti akan jumpa dirinya sendiri dalam setiap suara Anne.

Cukup tentang perkembangan peribadinya - kerana itu yang majoriti tampil dalam tulisannya, sebab dia kurang suka bicara tentang politik - walaupun rutinnya setiap hari akan dengar perbualan orang-orang dewasa tentang politik - bila England akan akhirnya bertindak, bukan sekadar omong kosong, bila Nazi akan lingkup, bila mereka akan akhirnya dapat bebas kembali - tapi satu suaranya yang terzahir; bahawasanya anti-Semitism ini yang akan buatkan mereka terus kuat untuk bertahan. Yang gagal bertahan, itu tidak apa, kerana, mereka yang bertahan ini yang akan bangkit kemudian.

Antara bangsa Islam dan Yahudi, bangsa Islam ini terkenal dengan paparan sejarah masa silam tentang kegemilangannya, kekuasaannya - daripada Khulafa' Ar-Rasyidin, kepada kerajaan Bani Umaiyyah, Bani Abassiyah, Turki Uthmaniyyah, kepada barisan pemerintah yang membawa karakter masing-masing sampailah sekejap jatuh sekejap bangun kembali kekuasaan empayar Islam - Harun Ar-Rasyid, sultan pertama dunia - Sultan Mahmud, Masud, Alp Arslan dengan setiausaha agungnya Nizam Al-Mulk sampailah Salah al-Din Yusuf Ibn Ayub yakni Saladin yang ambil kembali hampir kesemua yang ada dalam pegangan the Crusaders, tanpa pertumpahan darah - manakala sepanjang huru-hara dunia Islam yang pemerintahnya asyik nak bertanding pegangan agama siapa yang lagi kuat yang lagi betul - which sebijik situasi pemerintah Islam kita yang sekarang ni - bangsa Yahudi tertindas, tidak bertempat, berlindung di sana-sini.

Apa bangsa Islam ini terlalu selesa? Sampaikan bangsa yang tertindas itu, makin bangkit dan sudah maju - kerana susah payah perit duka yang mereka lalui. Sedangkan kita bangsa Islam mungkin sudah redha dengan dunia kerana tahu hujung perjalanan kita apa - bagaimana pengakhirannya hayat bumi, bagaimana kejatuhan bangsa Yahudi (dan agama lain), bagaimana akan datang penyelamat dan sebagainya - ini apa?

Kenapa diari Anne ini jadi fenomena dunia? Sebab tinggalnya sebagai peringatan kepada bangsa yang tertindas dahulu. Dan sebagai pembakar semangat kepada mereka.

Kita? Apa yang kita ada? Atau yang kita, kejar? Apa, fenomena kita? 

Nyatanya, senang disogok kerana terus terima. Fenomena kita jadi, stereotaip. Prinsip dan pendapat itu lain cerita, kepercayaan kita berteraskan asas yang sama - tapi sesetengahnya lari menjadi terlalu..jumud. 

Bangsa yang berfikir, bangsa yang terselamat.

Ahad, 23 Oktober 2011

Dengar The Carpenters saat angin bertiup dan buku di tangan seolah menghadirkan diri dalam surga ciptaan sendiri.

Cantik cuaca hari ni. Kalau semalam dia mengagau mencari ketenangan dalam jiwa yang menjerit-jerit keresahan, pagi ini dia bangun macam rutinnya yang biasa, pukul5 pagi sudah pergi tandas, bersihkan diri, dan baring semula atas katil, buka buku, dan mula membaca perlahan tatkala rommatenya masih enak diulit selimut, berlayar bersama mimpi.

*

Lama benar dia tidak hadir ke sini. Taman permainannya. Saat dia melangkah masuk sebentar tadi, kurang sedozen bayang manusia yang nampak waktu-waktu begini. Dia berdiri lama, memandang barisan pokok-pokok renek berlapiskan pokok-pokok yang agak rendang; cuba mencari spot yang rasa-rasanya agak seronok untuk berbaring dan bersandar ikut suka. 

Di tangan kirinya dia genggam bakul bekal makan tengahari, di sebelah tangan kanannya dia kepit tikar mengkuang dan buku-buku yang dia belum mula baca dan sudah separuh baca. Di bahunya pula tergalas beg sandang yang berisi botol air, iPod, sapu tangan, tisu, sudu, garpu, dan payung. 

Oh, dan selendang.

Dia jumpa sudut yang agak redup, di bawah pokok yang paling rendang dia kira; kurang orang lalu lalang dan agak jauh dari orang lain. Dia bentang tikar, sandarkan beg sandangnya ke tulang pokok, letak bakul makanan di sebelah kiri, keluarkan buku-buku dari begnya dan menghenyak tubuh untuk duduk, mencari posisi selesa. Dan lekat headphone pada kepalanya, cucuk iPod, dan mula selak helaian yang terakhir dia tinggalkan.

The Carpenters membuai-buai telinganya saat kehadiran angin sepoi-sepoi bahasa terasa menyapa batang tubuhnya perlahan. Dia memang boleh tenggelam terus jika begini gayanya.

*

Di atas, awan berarak perlahan menghiasi langit biru turqoise pekat, serentak seolah matahari di putar tombolnya untuk meredupkan cahayanya. 

Maria angkat muka, merenung langit yang penuh dengan awan putih gebu, yang masih berarak perlahan, sekali-sekala mengikut rentak angin yang menyapa-nyapa mukanya saat ini. Di tangannya, dia sudah selak hampir tiga per empat buku yang cuba mengajar erti hidup, bercerita tentang pengajaran seumur hidup; dan di telinganya masih bergendang rentak perlahan dan membuai lagu-lagu kegemarannya. Tapi desir angin yang berlanggar dengan dedaunan seolah lagi memukau sukmanya. 

Buku di tangannya dia lekapkan ke dada. Kala itu dia bersandar separuh badan, dengan selendang menutupi lengannya; mencuba supaya tidak terlalu menyengat rasanya terkena cahaya matahari. Dan angin masih seperti tadi; sebab utama dia pilih untuk keluar hari ini, singgah ke taman permainannya sejak dulu, yang dia datang hanya untuk tujuan yang indah; benar-benar penting. Seolah sweet escape mungkin.

Dia renung langit lama. Seiring awan yang berarak, terlintas memoria lama; yang terlipat, terselit bersama-sama setiap pengalaman hariannya. Dia cuba, untuk memaafkan dirinya selama ini, atas segala apa yang dia telah buat. Kemaafan, bukan hak dia untuk putuskan layaknya atau tidak. Tuhan sendiri maha Pengampun, tapi telah Dia katakan yang hak kemaafan untuk orang yang teraniaya itu, hak eksklusifnya sendiri.

Dia sebenarnya masih tidak dapat memaafkan dirinya sendiri, harus bagaimana dia kuat untuk meminta kemaafan secara tulus dari temannya? Kasihnya? Pengajaran tuhan itu secara langsung. Benar, manusia sering berbuat kesilapan dan lumrah, kita belajar dari kesilapan. Tapi.. jangan minta kita belajar dari kesilapan sendiri. Jangan diulang kesilapan orang lain, jangan guna alasan untuk benar-benar merasa dan mengalami pengalaman itu sendiri.

Kerana apa yang tersurat, yang telah terjadi, bukan sesuatu yang boleh diundur. Pengalaman masa, mengalir ia seperti air, bukan boleh disedut-sedut kembali. Ia menjadi sejarah. Ia tercatat. Dan akan sentiasa diingat.

Dan itu, merenggut setiap kekuatan yang Maria ada. Dia tahu dia tidak sempurna, dia tahu dia tidak seperti orang lain, dia tahu dia sentiasa buat salah seolah ditakdirkan untuk jadi pesalah sahaja; dia tahu proses dia belajar sangat lambat, dan itu memerlukan dia keseorangan. Bilamana dia harus tenggelam dalam dunianya sendiri, memerhati orang sekeliling. Kerana dia tidak akan melibatkan siapa-siapa melainkan dirinya sendiri.

Tapi masa berjalan. Keadaan berubah. Sama macam awan putih yang berarak di atas; sentiasa bergerak, sentiasa berubah bentuk dan warna, sentiasa wujud yang baru, hapus yang lama, semuanya berjalan sekitar kehendak-Nya.

Semua fikiran-fikiran ini bebas melayang ketika Maria di sini. Buku yang sudah tiga per empat dia baca itu dia tutup sudahnya. Dia tutup mata, dan biar fikiran-fikirannya melayang bebas; kerana apa yang dia ada hanyalah dia dan monolognya.