bila udara yang dihela sudah bagaikan asid, apalagi yang aku boleh buat selain lari ke sini dan mengadu domba? oh, dada terasa sempit, sesak. bila saja mengembang, seolah-olah berjuta jarum menyucuk-nyucuk segenap ruang hati. bertambah, dan bertambah. lalu, aku pilih untuk tidak bernafas, atau memaksa nafas keluar. biar, biar dada kekal sempit. biar, dada tidak terasa apa-apa. tapi fitrahnya aku manusia, perlu..bernafas. jadi, terima sajalah. biar rabak sekalipun dada ini. oh, aku tidak mahu fikir apa-apa. tolong, kosongkan ruang fikiran ini. tolong, aku mahu lari. haha. pengecut!
hadirnya aku di situ waktu itu, tidak aku terhargaikan suasana yang ada waktu itu. tidak aku terdengarkan bicara alam ketika itu, tidak aku terlihatkan indahnya alam waktu itu, hinggalah angin menyapa aku keras. menghempas, dan bersatu dingin dengan kulit. oh, maaf. aku tidak perasan pada awalnya. janganlah merajuk. mari, bertiuplah lagi.
lalu angin bertiup lagi. suka, membelai-belai aku lembut dengan nyaman udaranya, bergurau senda dengan aku dengan rima gila-gilanya. mengulit segenap tubuh aku dengan lembut layanannya. ketawa aku, suka. nakal kau ya, angin. dan burung-burung kecil, mulai terbang berlegar-legar. kelihatannya pada mata aku, seolah-olah bermain-main riang ketika aku di situ, bergurau senda dengan angin. dan lalang-lalang pula, ah, usah cakaplah. liuk-lentuk mereka menari-nari mengikut rentak angin sungguh membuai perasaan. ketawa lagi aku. terlupa sebentar sang mentari yang mula menampakkan diri dibelakang. ya, waktu itu aku membelakangkan sang matahari. patutnya, ketika itu semua orang teruja melihat secara langsung sang matahari yang perlahan-lahan menampakkan diri, yang mana pada mulanya menjadi fokus utama aku hadir disitu awal-awal pagi lagi. tapi waktu itu, aku sudah leka dengan angin. haha. aku rasa, matahari cemburu benar waktu itu. maka aku, berpusinglah, mengadap matahari.
bermain dengan alam, sungguh menggembirakan. aku bisa leka berjam-jam di situ. dan memang aku mahu terus di situ. semua ada di situ, apa lagi yang tiada? lihatlah, pengajaran langsung daripada Allah yang Esa. kau, tidak akan jemu. persoalan, penghargaan akan nikmat Allah tidak akan surut dari minda. bersyukur, kau bisa melihat semua itu. semua. SEMUA.
dan oh, untuk tidak terlupa, di saat hati terasa berat benar mahu pergi, pelangi..muncul. tiba-tiba. haha. kejam sungguh. sengaja kamu ya, betul-betul buat aku tidak mahu pergi. lalu, duduk lagi aku di situ, bermain-main lagi dengan angin, sambil melihat pelangi dari kejauhan. sampai akhirnya aku terpaksa juga turun, apabila ditegur. hujan mungkin akan turun. lalu.. aku ucapkan selamat tinggal pada semua. pada angin yang nakal, matahari yang sentiasa setia di situ, walau selalunya aku tidak terhargaikan, lalang yang lemah gemalai, dan pelangi yang sungguh baik. alam..tidak akan buat kau kecewa. semuanya, hadir di situ, meraikan kehadiran kau di situ, dan menyampaikan kasih Allah kepada kau.
bermain dengan alam walau untuk beberapa minit, ketika itu, sungguh..terapi yang bisa aku ulang tayang dalam minda. bisa aku panggil bila-bila masa aku mahu.
dan broga, aku akan datang lagi. tunggu..ya?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Katakan.