Ahad, 23 Oktober 2011

Dengar The Carpenters saat angin bertiup dan buku di tangan seolah menghadirkan diri dalam surga ciptaan sendiri.

Cantik cuaca hari ni. Kalau semalam dia mengagau mencari ketenangan dalam jiwa yang menjerit-jerit keresahan, pagi ini dia bangun macam rutinnya yang biasa, pukul5 pagi sudah pergi tandas, bersihkan diri, dan baring semula atas katil, buka buku, dan mula membaca perlahan tatkala rommatenya masih enak diulit selimut, berlayar bersama mimpi.

*

Lama benar dia tidak hadir ke sini. Taman permainannya. Saat dia melangkah masuk sebentar tadi, kurang sedozen bayang manusia yang nampak waktu-waktu begini. Dia berdiri lama, memandang barisan pokok-pokok renek berlapiskan pokok-pokok yang agak rendang; cuba mencari spot yang rasa-rasanya agak seronok untuk berbaring dan bersandar ikut suka. 

Di tangan kirinya dia genggam bakul bekal makan tengahari, di sebelah tangan kanannya dia kepit tikar mengkuang dan buku-buku yang dia belum mula baca dan sudah separuh baca. Di bahunya pula tergalas beg sandang yang berisi botol air, iPod, sapu tangan, tisu, sudu, garpu, dan payung. 

Oh, dan selendang.

Dia jumpa sudut yang agak redup, di bawah pokok yang paling rendang dia kira; kurang orang lalu lalang dan agak jauh dari orang lain. Dia bentang tikar, sandarkan beg sandangnya ke tulang pokok, letak bakul makanan di sebelah kiri, keluarkan buku-buku dari begnya dan menghenyak tubuh untuk duduk, mencari posisi selesa. Dan lekat headphone pada kepalanya, cucuk iPod, dan mula selak helaian yang terakhir dia tinggalkan.

The Carpenters membuai-buai telinganya saat kehadiran angin sepoi-sepoi bahasa terasa menyapa batang tubuhnya perlahan. Dia memang boleh tenggelam terus jika begini gayanya.

*

Di atas, awan berarak perlahan menghiasi langit biru turqoise pekat, serentak seolah matahari di putar tombolnya untuk meredupkan cahayanya. 

Maria angkat muka, merenung langit yang penuh dengan awan putih gebu, yang masih berarak perlahan, sekali-sekala mengikut rentak angin yang menyapa-nyapa mukanya saat ini. Di tangannya, dia sudah selak hampir tiga per empat buku yang cuba mengajar erti hidup, bercerita tentang pengajaran seumur hidup; dan di telinganya masih bergendang rentak perlahan dan membuai lagu-lagu kegemarannya. Tapi desir angin yang berlanggar dengan dedaunan seolah lagi memukau sukmanya. 

Buku di tangannya dia lekapkan ke dada. Kala itu dia bersandar separuh badan, dengan selendang menutupi lengannya; mencuba supaya tidak terlalu menyengat rasanya terkena cahaya matahari. Dan angin masih seperti tadi; sebab utama dia pilih untuk keluar hari ini, singgah ke taman permainannya sejak dulu, yang dia datang hanya untuk tujuan yang indah; benar-benar penting. Seolah sweet escape mungkin.

Dia renung langit lama. Seiring awan yang berarak, terlintas memoria lama; yang terlipat, terselit bersama-sama setiap pengalaman hariannya. Dia cuba, untuk memaafkan dirinya selama ini, atas segala apa yang dia telah buat. Kemaafan, bukan hak dia untuk putuskan layaknya atau tidak. Tuhan sendiri maha Pengampun, tapi telah Dia katakan yang hak kemaafan untuk orang yang teraniaya itu, hak eksklusifnya sendiri.

Dia sebenarnya masih tidak dapat memaafkan dirinya sendiri, harus bagaimana dia kuat untuk meminta kemaafan secara tulus dari temannya? Kasihnya? Pengajaran tuhan itu secara langsung. Benar, manusia sering berbuat kesilapan dan lumrah, kita belajar dari kesilapan. Tapi.. jangan minta kita belajar dari kesilapan sendiri. Jangan diulang kesilapan orang lain, jangan guna alasan untuk benar-benar merasa dan mengalami pengalaman itu sendiri.

Kerana apa yang tersurat, yang telah terjadi, bukan sesuatu yang boleh diundur. Pengalaman masa, mengalir ia seperti air, bukan boleh disedut-sedut kembali. Ia menjadi sejarah. Ia tercatat. Dan akan sentiasa diingat.

Dan itu, merenggut setiap kekuatan yang Maria ada. Dia tahu dia tidak sempurna, dia tahu dia tidak seperti orang lain, dia tahu dia sentiasa buat salah seolah ditakdirkan untuk jadi pesalah sahaja; dia tahu proses dia belajar sangat lambat, dan itu memerlukan dia keseorangan. Bilamana dia harus tenggelam dalam dunianya sendiri, memerhati orang sekeliling. Kerana dia tidak akan melibatkan siapa-siapa melainkan dirinya sendiri.

Tapi masa berjalan. Keadaan berubah. Sama macam awan putih yang berarak di atas; sentiasa bergerak, sentiasa berubah bentuk dan warna, sentiasa wujud yang baru, hapus yang lama, semuanya berjalan sekitar kehendak-Nya.

Semua fikiran-fikiran ini bebas melayang ketika Maria di sini. Buku yang sudah tiga per empat dia baca itu dia tutup sudahnya. Dia tutup mata, dan biar fikiran-fikirannya melayang bebas; kerana apa yang dia ada hanyalah dia dan monolognya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Katakan.